Gaza Perlukan Pasukan Pengaman, Henti Kezaliman Zionis Dan AS – Dr M
KUALA LUMPUR, 4 Ogos 25 – Kekejaman Israel dan Amerika Syarikat (AS) di Gaza, Palestin memerlukan kewujudan satu pasukan pengaman untuk menghentikan kezaliman itu walaupun terpaksa melalui jalan kekerasan, kata Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri berkata, Israel dan AS kini membiarkan penduduk Palestin kebuluran dalam usaha membunuh mereka bagi merampas tanah yang diduduki mereka.
“Kita perlukan satu Pasukan Pengaman untuk melindungi rakyat Palestin di Gaza daripada tindakan tidak berperikemanusiaan oleh Israel dan AS. Raksasa ini mesti dihentikan.
“Dunia mesti mencabar kuasa AS dan Israel. Sekatan kejam ini mesti dipecahkan walaupun dengan kekerasan. Dunia tidak boleh membiarkan kekejaman dan kebinatangan ini berterusan tanpa halangan,” katanya, dalam satu kenyataan.
Dr Mahathir berkata, Kebanyakan rakyat Gaza yang telah mati atau sedang menghadapi maut adalah kanak-kanak dan wanita.
“Penderitaan mereka amat menyayat hati. Hanya tinggal kulit dan tulang. Lemak dan otot telah hilang. Malah tulang mereka menjadi nipis dan rapuh, tidak lagi mampu menampung tubuh,” katanya.
Bagaimanapun katanya dunia hanya melihat dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana takut kepada reaksi AS.
“AS nampaknya bersedia untuk menghukum mana-mana negara yang cuba membantu rakyat Palestin yang sedang nazak.
“Amerika menyokong strategi kebuluran Israel untuk membunuh,” dakwa Dr Mahathir.
Negarawan itu berkata, AS bercakap banyak tentang hak asasi manusia, tentang kesucian nyawa manusia namun mereka meluluskan pembunuhan beramai-ramai dengan bom dan roket.
“Dan kini, genosid melalui kebuluran. Jelas sekali mereka adalah hipokrit. Sebenarnya mereka adalah manusia kejam tanpa secebis rasa belas kasihan.
“Satu-satunya negara yang boleh campur tangan juga adalah Amerika Syarikat.
“Tetapi jelas sekali Amerika tidak akan campur tangan. Malah, campur tangan mereka adalah memihak kepada Israel,” tambahnya. @politiko.my


Tiada ulasan:
Catat Ulasan