BERSIH 2.0 buat laporan polis tentang komen Facebook yang mungkin memudaratkan perbicaraan Mejar Zaidi
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) telah membuat laporan polis hari ini menggesa siasatan dibuat ke atas komen Facebook yang mempunyai implikasi yang serius terhadap integriti mahkamah yang membicarai Mejar Zaidi Ahmad.
BERSIH 2.0 Timbalan Pengerusi Sarajun Hoda Abdul Hassan membuat laporan itu pagi ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling, Jalan Penchala, Petaling Jaya.
BERSIH 2.0 terpaksa bertindak demikian setelah memerhatikan perkembangan di mahkamah yang kelihatannya seperti pengabaian hak perlembagaan Major Zaidi untuk perbicaraan yang adil.
Pertama adalah penolakan permintaan peguambela pada 24 November supaya mahkamah dibubarkan atas silap bicara (mistrial) setelah komen Facebook yang menyentuh perbicaraan itu muncul dalam ruangan komen tentang laporan Malaysiakini, "Peguam: Kesalahan Mejar Zaidi hanya kerana berani" (20 Oktober).
Komen itu berbunyi: "KLU tak nak jd tentera duk kampung motong getah jer".
Sebuah petikan skrin yang disiarkan dalam laporan Malaysiakini yang lain setelah itu menunjukkan bahawa komen yang berasal daripada akaun Facebook milik "Saadon T'son" itu mempunyai gambar profil menyerupai Kolonel Saadon Hasnan, Yang Dipertua panel yang mendengar kes Mejar Zaidi.
Seterusnya, ditolak pula permintaan peguambela pada 15 Disember bagi penangguhan perbicaraan sementara menunggu permohonan semakan kehakiman. Semakan tersebut difail untuk mencabar keputusan pihak berkuasa sidang yang menolak dakwaan mahkamah bersifat berat-sebelah berdasarkan komen Facebook itu. Mahkamah tentera tidak bersetuju, tanpa memberi apa-apa alasan, bahawa semakan kehakiman tersebut akan menjadi sekadar akademik sekiranya perbicaraan diteruskan; mahkamah berhasrat untuk memberi keputusan pada 8 Januari 2015.
Amat mencurigakan, tindakan mahkamah tentera yang bergegas untuk meneruskan perbicaraan meskipun wujudnya persepsi bahawa Yang Dipertua panel mungkin berat-sebelah. Alasan mahkamah bahawa kos perbicaraan yang berpanjangan membebankan pembayar cukai juga memeranjatkan kerana ia seolah-olah mengutamakan kos dan bukannya keadilan.
Jika pihak berkuasa sidang begitu prihatin tentang pembaziran wang rakyat, maka ia tidak seharusnya membicarakan Mejar Zaidi. Seperti yang BERSIH 2.0 telah berulang kali berkata, undang-undang ketenteraan yang menjadi dasar pertuduhan terhadap Mejar Zaidi bertujuan untuk melindungi keselamatan negara, yang sama sekali tidak terjejas oleh pendedahan Mejar tentang kegagalan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum ke-13.
Kedua, aduan Mejar Zaidi sejak itu telah diakui sebagai sah. SPR sendiri telah mengaku bahawa dakwat itu tidak mempunyai kandungan nitrat perak yang secukupnya untuk memberi ia ciri kekekalan – maka tidaklah mengejutkan apabila dakwat kekal itu gagal secara meluas, seperti yang diperlihatkan dalam ratusan laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pengundi tentangnya. Namun tiada siapa dalam SPR yang dipertanggungjawabkan secara terbuka bagi kegagalan ini.
Sebaliknya, pihak berkuasa nampaknya bersungguh-sungguh mahu menjadikan Mejar Zaidi sebagai teladan yang negatif; ini memberi pesanan yang berbahaya yang memberanikan mereka yang bersalah sambil menutup mulut “whistleblower”. BERSIH 2.0 mengambil berat kes ini kerana gerakan untuk pilihan raya yang bebas dan adil – malah, rakyat jelata – amat memerlukan orang yang berani seperti Mejar Zaidi memberi kuasa kepada kebenaran.
Walaupun akaun Facebook "Saadon T'son" sudah dibatalkan sekarang, BERSIH 2.0 yakin bahawa pakar-pakar forensik komputer dalam kerajaan boleh mengesan dan mengenal pasti punca komen tersebut. Jika pihak berkuasa begitu berkesan dalam menyiasat kes hasutan dalam talian, maka mereka tentu boleh menunjukkan kecekapan yang sama dalam kes yang melibatkan hak perlembagaan seorang rakyat untuk mendapat perbicaraan yang adil. Kami juga percaya bahawa Yang Dipertua panel yang menghakimi Mejar Zaidi pasti mahu imejnya bebas daripada sebarang kecurigaan, dan ini hanya boleh dilakukan dengan siasatan polis yang independen.
Mahkamah bukan sahaja mesti berlaku adil tetapi juga mesti dilihat sebagai berlaku adil. Bukan sahaja kehidupan dan mata pencarian Mejar Zaidi yang terjejas dalam kes ini, tetapi juga keyakinan orang ramai dan juga rakan seanggota Mejar dalam Tentera Udara Diraja Malaysia, yang turut berhadapan dengan dakwat kekal yang gagal tetapi tidak berupaya membuat aduan rasmi atas sebab-sebab tersendiri.
Bagi mereka, dan kepada semua warga Malaysia yang lain yang sudah letih melihat ketidakbertanggungjawaban yang berterusan bagi banyak skandal yang wujud dalam urus tadbir kerajaan, keberanian Mejar Zaidi menjadi pedoman kita.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0,
-------------
2 ulasan:
tergamak juga manusia-manusia buat kerja dajjal ! ABU !
Bersih ni dok crita ja...bukti sahih x da...x kemana juga...syok sendiri juga...masuk bakul angkat sendiri
Catat Ulasan