Warga Aceh Barat teruja temui emas di wilayah bekas banjir
ACEH: Bencana banjir besar yang melanda Kabupaten Aceh Barat meninggalkan habuan tidak disangka apabila sejumlah penduduk menemui butiran emas bertaburan di kawasan terjejas.
Menurut laporan Tribun Jateng pada Jumaat, kejadian itu berlaku di Gampong Seuradeuk, Kecamatan Woyla Timur, Kabupaten Aceh Barat.
Berdasarkan maklumat diperoleh, penduduk tempatan yang sedang bergotong-royong membersihkan rumah serta kawasan persekitaran selepas banjir menemui objek kecil berkilauan di halaman sebuah rumah.
Penduduk kemudian mengutip butiran emas itu dan menapis tanah menggunakan peralatan ringkas serta menemui lebih banyak lagi bahan berkenaan.
Sementara itu, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti asal-usul butiran emas berkenaan termasuk bagaimana emas boleh ditemui di kawasan yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh.
Pensyarah dan penyelidik bidang Sumber Mineral, Jabatan Kejuruteraan Geologi Universiti Gadjah Mada, yang juga Staf Khas Persatuan Geologi Ekonomi Indonesia (MGEI), Lucas Donny Setijadji, memaklumkan bahawa wilayah Aceh sememangnya mempunyai sumber mineral emas.
"Banyak wilayah di kepulauan Indonesia, termasuk Aceh, memiliki sumber mineral khususnya emas," katanya ketika dihubungi Kompas.com.
Lucas menjelaskan, fenomena itu berlaku kerana butiran emas tergolong sebagai logam yang berdaya tahan atau utuh terhadap proses pengkakisan.
"Batuan mengandungi butiran emas, yang pada awalnya berkadar rendah dalam lingkungan bacaan partikel per sejuta (PPM) ppm atau gram dalam setiap tan, akan kekal sebagai butiran emas, manakala mineral lain kebanyakannya telah berubah menjadi tanah.
"Apabila sebahagian besar tanah dihanyutkan akibat banjir, butiran emas yang masih utuh serta mempunyai ketumpatan tinggi akan tertahan lebih dekat dengan sumber batuan asal.
"Butiran emas ini agak mudah dipisahkan daripada bahan runtuhan dan mendapan lain melalui proses pencucian atau mendulang, seperti yang dapat dilihat dalam gambar dan video," katanya.
Lucas turut menyifatkan kejadian itu sebagai bukti kekayaan kepulauan Indonesia, termasuk Wilayah Istimewa Aceh, dengan pelbagai sumber mineral, khususnya emas. - AGENSI




