Rabu, 9 Oktober 2024

TUHAN BARU UNTUK UMAT MANUSIA ?




Bapa AI' beri amaran mengenai bahaya AI selepas menang hadiah Nobel Fizik


STOCKHOLM : Saintis Amerika Syarikat (AS), John Hopfield dan warga Britain-Kanada, Geoffrey Hinton, memenangi hadiah Nobel fizik pada Selasa hasil penciptaan asas mereka mengenai kecerdasan buatan (AI).

Kedua-duanya sebelum ini pernah membangkitkan kebimbangan mereka mengenai kemajuan teknologi yang mereka sendiri cipta itu mungkin menguasai manusia pada masa depan.

Penyelidikan pasangan itu mengenai rangkaian saraf pada 1980-an membuka jalan kepada sistem pembelajaran yang mendalam hari ini, untuk merevolusikan masyarakat namun, turut menimbulkan kebimbangan mengenai masa depan.

"Dalam keadaan sama, saya akan melakukan perkara sama sekali lagi, namun saya bimbang akibat perkembangan teknologi ini, mungkin sistem yang lebih bijak akhirnya akan mengawal kita pula," kata Hinton, 76, kepada pemberita selepas pengumuman itu.

Hinton, dikenali sebagai 'Bapa AI', menamatkan kerjaya di Google dengan memberi amaran mengenai risiko AI kepada masyarakat dan manusia.

Pada Mac tahun lalu, apabila ditanya sama ada AI boleh menghapuskan manusia, Hinton menjawab: "Ia tidak boleh dibayangkan".

Juri berkata, pasangan itu diberi penghormatan atas penemuan asas dan ciptaan AI yang membuka ruang pembelajaran mesin dengan rangkaian saraf tiruan.

Pengerusi Jawatankuasa Nobel untuk Fizik, Ellen Moons, memberitahu teknologi itu sudah menjadi sebahagian kehidupan seharian manusia, termasuk dalam pengecaman muka dan terjemahan bahasa.

Sambil memuji potensi AI, Moons berkata perkembangan pesatnya secara kolektif turut menimbulkan kebimbangan mengenai masa depan manusia.

"Manusia memikul tanggungjawab untuk menggunakan teknologi baharu ini dengan cara yang selamat dan beretika," katanya.

Hopfield, seorang profesor emeritus di Princeton, mendapat perhatian selepas beliau mencipta 'rangkaian Hopfield', yang boleh diguna untuk menyimpan serta membina semula imej dan jenis corak lain dalam data.

Ahli fizik itu menyertai Hinton, bagi menggesa pemahaman lebih mendalam mengenai sistem AI moden untuk mengelak mereka terkeluar dari kawalan, sambil menggelar kemajuan teknologi terkini itu sebagai sangat membimbangkan.

Juri berkata Hinton, seorang profesor berusia 76 tahun di Universiti Toronto, menggunakan rangkaian Hopfield sebagai asas untuk rangkaian baharu iaitu mesin Boltzmann.

Hinton dipilih selepas mencipta kaedah yang boleh menentukan sifat dalam data secara autonomi dan seterusnya melaksanakan tugas seperti mengenal pasti elemen tertentu dalam gambar.

"Saya terkejut, saya tidak tahu ini akan berlaku," kata Hinton kepada pemberita dalam temu bual telefon ketika pemenang itu diumumkan di Stockholm.

Hinton berkata, beliau seorang pengguna tegar aplikasi AI seperti ChatGPT, sambil percaya teknologi itu berupaya membina pengaruh yang besar.

"Ia akan setanding dengan revolusi perindustrian tetapi tidak melangkaui keupayaan fizikal manusia, sebaliknya ia akan melebihi manusia dalam keupayaan intelek," katanya.

Pemenang menerima hadiah terdiri daripada pingat emas dan cek AS$1 juta (RM4.29 juta) daripada Raja Carl XVI Gustaf di Stockholm, Sweden pada 10 Disember, sempena ulang tahun kematian saintis Alfred Nobel pada 1896. - AFP


APAKAH AI

AKAN MENJADI

TUHAN BARU

KEPADA UMAT

MANUSIA ?

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: