Kongres Nasional PKR 2025: Polis ambil langkah keselamatan
JOHOR BAHRU – Polis Johor memberi jaminan akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan penganjuran Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 selama tiga hari di bandar raya ini lancar dan selamat.
Ketua Polis Johor, M Kumar berkata, kongres berkenaan yang bermula Khamis ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada), Hotel Berjaya Waterfront, Pusat Konvensyen Danga Bay dan pusat beli-belah Toppen.
“Anggota polis akan ditempatkan di empat lokasi penganjuran program sempena kongres berkenaan di sekitar bandar raya ini.
“Kesesakan lalu lintas mungkin akan berlaku memandangkan jangkaan lebih kurang 10,000 orang terdiri daripada delegasi, ahli parti dan tetamu kehormat akan hadir.
“Acara ini akan berlangsung bermula Khamis sehingga Sabtu ini,” katanya ditemui pada Program Derma Darah sempena Peringatan Hari Polis Ke-218 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya tidak menjangkakan sebarang isu besar akan timbul pada penganjuran kongres itu selagi mana semua peraturan dan undang-undang dipatuhi.
“Kita tidak jangkakan ada apa-apa isu berlaku. Kita ada peruntukan undang-undang untuk dipatuhi. Jadi, selagi ikut undang-undang, tidak ada masalah, walau apa sahaja program yang dianjurkan,” katanya.
Kumar turut memaklumkan, tiada sebarang penutupan jalan raya dibuat sepanjang tiga hari berkenaan, namun mengakui kesesakan lalu lintas mungkin akan berlaku.
“Kita tidak tutup sebarang jalan, tetapi akan berlaku sedikit kesesakan di kawasan bandar raya, tetapi kita tidak nampak ada isu besar,” katanya.
Sebelum ini, Kongres Nasional PKR dijadualkan berlangsung pada 14 dan 15 Disember 2024 di Persada.
Bagaimanapun, pada 30 November tahun lalu, PKR dilaporkan memutuskan untuk menangguhkan Kongres Nasional PKR itu susulan bencana banjir di beberapa negeri termasuk Johor, ketika itu. –


1 ulasan:
Orang yang dihina dahulu sampai sekarang lebih cerdik, lebih maju, lebih tinggi pendidikan lebih tinggi kebudayaan, lebih maju tanpa sebarang bantuan, manakala kita yang suka keji hina orang masih tahap sama, masih menghulurkan tangan minta bantuan, minta sedekah dengan rasuah, malu lah sedikit kaum majoriti selamat selama lamanya kah? Kemanakah visi negara ini kalau asyik bergaduh sesama sendiri kemudian nak salahkan siapa? Kah kah kah cermin diri dulu, bontot penuh dengan tahi kering woit kah kah kah
Catat Ulasan