PN terus gasak Anwar, desak undur demi integriti
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengulangi gesaannya agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletak jawatan, susulan dakwaan campur tangan dalam pelantikan kehakiman melibatkan seorang hakim kanan yang didakwa mempunyai isu integriti.
Muhyiddin berkata dakwaan tersebut — yang kononnya dibangkitkan semasa mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) — menunjukkan berlakunya hakisan serius terhadap kebebasan badan kehakiman dan keyakinan awam.
Tegasnya, dakwaan itu mesti disiasat sambil langkah-langkah pembetulan dilaksanakan dalam proses pelantikan hakim demi memastikan kepercayaan awam terhadap badan kehakiman sebagai pelindung keadilan terus terpelihara.
"Lebih membimbangkan dakwaan ini juga berkait rapat dengan masalah yang lebih besar iaitu dakwaan campurtangan badan eksekutif dalam pelantikan hakim-hakim membabitkan Perdana Menteri yang mempunyai kepentingan dalam satu kes mahkamah yang serius.
"Ini membangkitkan suatu kebimbangan yang munasabah bahawa perdana menteri juga tidak akan meletakkan integriti sebagai pertimbangan utama dalam pelantikan hakim. Pertimbangan kepentingan peribadi berkemungkinan besar akan mengatasi faktor integriti.
"Apatah lagi jika hakim yang didakwa terbabit dengan masalah integriti dilantik ke jawatan yang lebih tinggi dalam badan kehakiman.
"Saya bimbang sekiranya integriti tidak lagi menjadi asas pertimbangan yang penting dalam pelantikan hakim-hakim, keadilan boleh dijual beli," katanya pada hantaran di media sosial.
Presiden Bersatu itu berkata Anwar mempunyai “tanggungjawab moral” untuk meletak jawatan, dengan menyatakan hanya selepas itu barulah satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) yang benar-benar bebas boleh ditubuhkan untuk menyiasat sebarang salah laku dalam pelantikan hakim.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menuntut supaya Anwar bercuti, mendakwa gesaan itu sejajar dengan titah Istana Negara bahawa pelantikan kehakiman mesti ditangani dengan berhati-hati dan penuh integriti.
Sekretariat Pertahan Badan Kehakiman turut mendesak agar Anwar melepaskan jawatannya serta-merta atas alasan wujud konflik kepentingan dalam pelantikan kehakiman.
Kumpulan itu, yang diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan disokong oleh beberapa tokoh pembangkang, turut mempertimbangkan untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah.
Tindakan undang-undang yang sedang dipertimbangkan itu difahamkan bertujuan untuk mendapat keputusan mengenai bagaimana seorang perdana menteri yang terpalit dalam pertikaian sivil boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pelantikan hakim.
Salah satu kes utama yang membabitkan Anwar ialah saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantunya, Yusoff Rawther, yang menuduh perdana menteri melakukan gangguan seksual.
Terdahulu, sembilan ahli parlimen PKR yang diketuai Rafizi Ramli menggesa penubuhan RCI serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung reformasi untuk menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman serta tuduhan terhadap seorang hakim kanan yang didakwa turut mencampuri urusan kehakiman.
Baaimanapun, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menegaskan PN “tidak yakin” dengan penubuhan RCI dalam keadaan semasa kerana suruhanjaya itu perlu ditubuhkan atas nasihat perdana menteri kepada Agong.
Dalam menyatakan pendirian PN untuk tidak menyokong gesaan Rafizi agar RCI ditubuhkan, Takiyuddin berkata sokongan terhadap usaha itu akan bercanggah dengan pendirian pembangkang yang mahukan Anwar segera meletak jawatan.


2 ulasan:
Kalau PAS tak ada memang beribu akan turun..kalau ada ratus aja..tunggu dan lihat.
turun bukan naik ke? gua cuntfuse. kah kah kah!
Catat Ulasan