Perolehan Aset ATM Perlu Berdasarkan Analisis Ancaman, Bukan Cadangan Kontraktor – MP Ketereh
KUALA LUMPUR, 22 Sep 25 – Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor, menegaskan kerajaan perlu menjadikan isu saman kontraktor terhadap Kementerian Pertahanan (Mindef) sebagai pengajaran penting untuk memastikan proses perolehan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih teliti dan berasaskan analisis ancaman sebenar.
Khlir, yang juga bekas Mejar Jeneral ATM, berkata keputusan mendapatkan aset pertahanan seharusnya digerakkan oleh keperluan operasi di lapangan, bukannya semata-mata cadangan pihak kontraktor yang mengejar keuntungan.
“Sepatutnya kita buat analisis ancaman – di Selatan Thai, di sempadan Malaysia-Thailand, di Timur Sabah, Selat Melaka atau sempadan Filipina – kita mesti jelas apa bentuk ancaman, apa peluang kita, aset apa yang diperlukan. Radar atau helikopter jenis apa? Drone yang bagaimana? Itu asasnya.
“Jangan orang awam atau kontraktor yang tentukan semata-mata. Askar ini profesional, biar mereka yang tentukan apa yang diperlukan,” katanya kepada politiko.
Khlir pda masa yang sama melahirkan rasa kecewa dengan tindakan kontraktor yang memfailkan saman selepas gagal menunaikan tanggungjawab membekalkan helikopter Blackhawk seperti dalam kontrak.
“Itu yang jadi pada Blackhawk. Bila kontraktor tak boleh deliver, kerajaan batalkan kontrak, kemudian mereka saman. Saya kesal Mindef disaman sampai RM300 juta.
Kalau saman itu berjaya, rakyat yang menanggung. Lebih baik duit itu digunakan untuk kebajikan veteran tentera,” katanya.
Menurut beliau, isu saman kontraktor ini membuktikan kelemahan dalam proses perolehan aset pertahanan negara. Justeru, kerajaan perlu memperkukuh sistem agar keputusan berpaksikan analisis keselamatan dan kepakaran tentera, bukan cadangan luar yang dipengaruhi kepentingan keuntungan.
Khlir turut menzahirkan rasa simpati terhadap nasib veteran ATM yang menurutnya masih berdepan cabaran dalam soal pencen dan kebajikan.
“Saya kalau babit dengan veteran memang emosional. Saya tahu perjalanan mereka, pengorbanan mereka. Sepatutnya duit rakyat dibelanjakan untuk mereka, bukan untuk menanggung saman akibat kelemahan pengurusan kontrak,” katanya. @politiko.my


Tiada ulasan:
Catat Ulasan