Thaksin dipenjara setahun oleh Mahkamah Agung Thailand
BANGKOK: Mahkamah Agung Thailand hari ini mengarahkan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, dipenjara serta-merta untuk menjalani hukuman setahun.
Mahkamah memutuskan hukuman penjara yang dijatuhkan pada 2023 tidak dilaksanakan dengan betul dan kini tertuduh perlu menjalani baki hukuman penjara yang dielakkannya ketika dalam tahanan hospital.
"Mahkamah akan mengeluarkan waran penjara dan pegawai dari Penjara Reman Bangkok akan membawanya ke penjara," menurut keputusan yang dibacakan oleh seorang hakim.
Thaksin, 76, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa selepas pulang ke negara itu pada Ogos 2023, selepas bertahun-tahun hidup dalam buangan.
Namun, beliau tidak pernah bermalam di dalam sel penjara, sebaliknya dihantar terus ke bilik hospital swasta, sebelum hukumannya dikurangkan kepada setahun melalui pengampunan diraja, kemudian dibebaskan awal menerusi skim pelepasan untuk banduan warga emas.
"Menghantarnya ke hospital adalah tidak sah, defendan tahu penyakitnya bukan kes kecemasan, dan berada di hospital tidak boleh dikira sebagai tempoh penjara," menurut keputusan mahkamah.
Keputusan mahkamah itu dibuat ketika Thaksin dan kem politiknya berdepan tempoh cabaran politik.
Ini berikutan anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra, dipecat sebagai perdana menteri oleh mahkamah 11 hari lalu, menjadikan beliau perdana menteri keenam dari atau disokong oleh keluarga Shinawatra yang disingkirkan oleh badan kehakiman atau tentera.
Sebelum kejatuhan kerajaan Paetongtarn, huru-hara politik berlaku apabila kerajaan pimpinannya tumbang setelah dikalahkan oleh pencabar, Anutin Charnvirakul, yang dipilih sebagai perdana menteri oleh Parlimen.
Sebelum ini, mahkamah telah menyita rekod perubatan Thaksin dan memanggil 20 saksi, termasuk bekas ketua jabatan pemulihan dan pakar perubatan yang merawatnya.
Dalam perkembangan berasingan, Majlis Perubatan Thailand telah menggantung dua doktor kerana mengeluarkan dokumen yang mengandungi maklumat perubatan palsu.
Seorang doktor penjara pula diberi amaran kerana gagal mematuhi piawaian perubatan dalam merujuk Thaksin untuk rawatan hospital.
Lelaki berusia 76 tahun itu kelihatan sihat ketika kembali dari buangan untuk menyambut orang ramai pada 2023 dan selepas pembebasannya.
Beliau kembali aktif dalam politik, walaupun secara rasmi sudah bersara.
Paetongtarn, ketika ditemui di luar Mahkamah Agung, berkata bapanya masih 'bersemangat' walaupun dijatuhi hukuman penjara setahun.
"Ayah saya tetap menjadi pemimpin berjiwa besar, sama ada melalui peranan politiknya sebelum ini, sumbangannya kepada negara, atau keikhlasannya untuk menjadi sebahagian daripada usaha meningkatkan kehidupan rakyat," katanya.
Pada Khamis lalu, Thaksin dilaporkan secara rahsia berangkat ke Dubai, di mana beliau menghabiskan sebahagian besar masa buangannya.
Tindakan itu mencetuskan spekulasi bahawa beliau melarikan diri daripada keadilan sekali lagi, namun beliau kembali Isnin lalu dan berjanji akan menghadiri keputusan mahkamah itu. - REUTERS


Tiada ulasan:
Catat Ulasan