Trump gesa Iran menyerah kalah kepada Israel tanpa syarat
BAITULMAQDIS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menggesa Iran menyerah kalah tanpa syarat kepada Israel dan memberi amaran bahawa tahap kesabaran negaranya semakin tipis.
Bagaimanapun, Trump memaklumkan buat masa ini pihaknya tiada rancangan untuk membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, sebagai strategi menamatkan perang antara Israel dan Iran yang memasuki hari kelima.
Namun, beliau menegaskan AS boleh membunuh Khamenei pada bila-bila masa sekiranya ia mahu.
Kenyataan Trump yang dimuat naik di media sosial menggambarkan pendirian lebih agresif terhadap Iran, ketika beliau mempertimbangkan untuk memperluas pembabitan AS dalam konflik berkenaan.
"Kami tahu dengan tepat di mana 'Pemimpin Tertinggi' itu bersembunyi. Kami tidak akan menyingkirkannya (bunuh!), sekurang-kurangnya bukan buat masa ini… Kesabaran kami semakin tipis," tulisnya di laman Truth Social miliknya.
Tiga minit kemudian, beliau memuat naik mesej: 'SERAH KALAH TANPA SYARAT', yang ditujukan kepada Iran.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, turut memberi amaran bahawa Khamenei mungkin menerima nasib yang sama seperti bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein, yang digulingkan dalam pencerobohan diketuai AS dan dihukum gantung pada 2006 selepas dibicarakan.
"Saya memberi amaran kepada Iran supaya tidak terus melakukan jenayah perang dan menembak peluru berpandu ke arah rakyat Israel," kata Katz kepada barisan kepimpinan tentera Israel.
Pendekatan Trump yang kadangkala bercanggah dan barbaur ugutan terhadap konflik antara sekutu rapatnya Israel, serta musuh lamanya, Iran, menambah kekeliruan terhadap krisis berkenaan.
Kenyataan umum beliau merangkumi daripada ugutan ketenteraan kepada pendekatan diplomatik, sesuatu yang tidak asing bagi seorang presiden terkenal dengan dasar luar yang mengelirukan.
Pada Isnin, Trump menyatakan beliau mungkin akan menghantar Wakil Khas AS ke Timur Tengah, Steve Witkoff atau Naib Presiden, JD Vance, untuk bertemu dengan pegawai Iran.
Ramai penasihat utama Khamenei dalam bidang ketenteraan dan keselamatan dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel, sekali gus melemahkan barisan dalaman beliau.
Keadaan itu meningkatkan risiko kesilapan strategik, menurut individu yang rapat dengan proses membuat keputusan pucuk pimpinan tertinggi Iran.
Tentera Israel sebelum ini memaklumkan mereka sudah membunuh Ketua Turus Perang Iran, Jeneral Ali Shadmani, empat hari selepas beliau dilantik menggantikan seorang komander kanan lain yang turut terbunuh dalam serangan terdahulu. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan