Khamis, 10 Julai 2025

MAO CASTRO KARNO GANDHI DAN MAHATHIR



Mahathir 100 tahun: Malaysia ‘buat-buat tak perasan’
Jika dunia mengenali China kerana Mao Zedong, Cuba kerana Fidel Castro, Indonesia kerana Sukarno, India kerana Mahatma Gandhi, Malaysia menjadi terkenal kerana Dr Mahathir Mohamad.

Ini adalah satu perkara yang mungkin pedih bagi sesetengah pemimpin di Malaysia hari ini, akan tetapi itulah hakikatnya.


Dan penulis mempelajari tentang perkara ini melalui jalan sukar ketika berada di zon perang.

Ketika terlibat dalam misi Pemantauan Pilihan Raya Antarabangsa bagi Pilihan Raya Presiden Afghanistan 2004, beberapa tahun selepas tragedi World Trade Center pada 9 September 2001, disebabkan nama Dr Mahathir, penulis dilayan baik oleh warga tempatan.

Pada ketika itu penulis ditempatkan di Quetta, Pakistan bagi memantau proses pilihan raya bagi warga pelarian Afghanistan yang menetap di negara itu.

Di Quetta pelarian-pelarian Afghanistan juga terdiri daripada pelbagai etnik seperti Pashtun, Tajik, Hazara dan Uzbek.

Dan semua etnik-etnik ini apabila penulis memperkenalkan diri dan memberitahu berasal dari Malaysia, ayat pertama yang keluar dari mulut mereka ialah: “Mahathir”.

Itu belum lagi wakil-wakil calon yang apabila ditemubual mengatakan calon presiden mereka mempunyai misi dan visi seperti Dr Mahathir untuk negara Afghanistan.

Tiada sambutan kenegaraan

Dr Mahathir mencecah 100 tahun dan kita melihatnya menjalankan aktiviti kehidupan seperti biasa.

Mana-mana wartawan yang berpeluang mewawancaranya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya sudah pasti akan menyedari hakikat ini.

Pada usia sebegitu lanjut, Dr Mahathir masuk pejabat, bertemu orang, memberikan ucapan, menulis dan memandu kenderaan seolah-olah usianya bukanlah satu penghalang.

Kebanyakan orang yang berjaya mencapai usia sebegini lazimnya sudah terbaring di rumah, berjalan menggunakan tongkat dan sukar untuk melihat seaktif Dr Mahathir.

Ini bukan sahaja satu keajaiban bagi Malaysia, malah Dr Mahathir sudah menjadi keajaiban dunia.

Pemimpin negara berminda kecil

Akan tetapi sayang, ketika media dalam dan luar negara melaporkan tentang “keajaiban Dr Mahathir”, tidak ada sambutan kenegaraan daripada kerajaan Malaysia.

Malaysia memilih untuk “buat-buat tak perasan”.

Malahan sebuah masjid di Kuala Lumpur membatalkan pada saat-saat akhir kebenaran untuk program doa selamat sempena Dr Mahathir mencecah 100 tahun.

Sedangkan ini adalah satu perkara hebat yang boleh “dijual” oleh Malaysia kepada dunia walaupun kita mengetahui bahawa Dr Mahathir tidak mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin negara pada hari ini.

Akan tetapi sayang, pemimpin negara pada hari ini memilih untuk “berjiwa dan berminda kecil” berbanding menunjukkan sikap negarawan.

Negara maju seperti Jepun lebih menghargai Dr Mahathir berbanding Malaysia, lihatlah bagaimana mereka merayakan bekas perdana menteri itu apabila ke Forum Nikkei setiap tahun.

Ucapan di Facebook sahaja tidak cukup pada ketika pejabat-pejabat yang menempatkan anggota-anggota Kabinet hari ini dibina ketika Dr Mahthir menjadi perdana menteri dahulu.

Dan dunia menyaksikan bagaimana kerajaan Malaysia melayan bekas pemimpin yang mempunyai begitu banyak jasa kepada negara.

TULISAN:
AMIN ISKANDAR 
Hos The Tiger Show Podcast 
Graduan Unviersiti Bangsar Utama
Wartawan The Malysian Insidder

Tiada ulasan: