Rafizi mahu pertahan fakta berkaitan Farhash di mahkamah
SEPANG — Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memilih mahkamah untuk mempertahankan kenyataan yang dibuatnya membabitkan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhash Wafa Salvador.
Ahli Parlimen Pandan itu mengesahkan menerima satu surat bertarikh 22 Ogos daripada Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co yang mewakili Farhash, yang menuntut supaya beliau berhenti mengeluarkan kenyataan dan meminta maaf.
“Surat ‘cease dan desist’ itu membuat tuntutan supaya saya berhenti mengeluarkan kenyataan dan meminta maaf, berhubung satu kenyataan saya yang mengesahkan pemberi maklumat adalah berkaitan urus niaga syarikat yang berkaitan beliau.
Kenyataan saya itu adalah satu penyataan fakta. Oleh itu, saya bersedia mempertahankan fakta-fakta tersebut di mahkamah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Farhash menerusi Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co menuntut Rafizi memohon maaf secara terbuka, menarik balik dan memadam kenyataan yang dibuat dalam tempoh 48 jam atau berdepan tindakan undang-undang.
Tuntutan itu melalui surat ‘cease and desist’ antara lain mendakwa kenyataan Rafizi dalam satu video siaran langsung yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau pada 20 Ogos lalu, mengaitkan nama Farhash dengan insiden serangan terhadap anaknya serta urus niaga syarikat tertentu.
Firma guaman itu turut menegaskan, kegagalan mematuhi tuntutan akan membuka ruang kepada tindakan undang-undang.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau menyerahkan perkara terbabit untuk tindakan lanjut peguamnya, Razlan Hadri Zulkifli daripada Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri.
“Saya berpandangan jika Farhash memfailkan saman di mahkamah kelak, ia akan menjadi kes berkepentingan awam dan peguam saya berpeluang menanyakan soalan yang ditimbulkan pelbagai pihak selama ini,” katanya.— BebasNews


Tiada ulasan:
Catat Ulasan