Selasa, 23 September 2025

DI MALAYSIA PUN ADA




Doktor berusia 100 tahun di Jepun masih berkhidmat, tiada hasrat bersara

KAINAN: Seorang doktor wanita berusia 100 tahun di Wilayah Wakayama, Jepun, masih setia berkhidmat demi menjaga kesihatan penduduk setempat.

Dr Teru Kasamatsu yang berkhidmat di Hospital Kasamatsu di bandar Kainan, menjalankan rawatan pesakit luar tiga kali seminggu dengan kebanyakannya pesakit tetap.

Di hospital yang menghadap Teluk Wakayama itu, beliau kelihatan tenang berbaju kot putih, menyambut pesakit dengan senyuman sambil meneliti rekod perubatan mereka.

"Tekanan darah anda agak tinggi. Sila bawa buku rekod ubat pada kunjungan akan datang," katanya kepada seorang pesakit dengan penuh mesra.

Hospital Kasamatsu ditubuhkan pada 1909 dan Dr Kasamatsu sudah hampir 80 tahun memeriksa serta merawat penduduk di kawasan berkenaan.

Prinsipnya sebagai doktor jelas iaitu mendengar apa yang ingin disuarakan pesakit.

Kini, hospital itu diterajui anak keduanya, Dr Satoshi, 68, sebagai pengarah, manakala menantunya, Hitomi, 61, mengetuai jabatan kejururawatan.

Kedua-duanya mengakui Dr Kasamatsu sangat dihormati serta diyakini pesakit.

"Beliau pandai mewujudkan suasana yang mudah untuk berbual. Pesakit sangat bergantung harap kepadanya," kata Dr Satoshi.

Hitomi pula berkata, Dr Kasamatsu tidak kekok berbual apa saja perkara termasuk perkara kecil dan ia berhasil meringankan beban di hati pesakit.

Menurut Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun, pada akhir 2022 terdapat kira-kira 340,000 doktor berdaftar, dengan 86 daripadanya berusia 98 tahun ke atas.

Dilahirkan pada 1925 di Kinokawa, Wakayama, Dr Kasamatsu adalah anak bongsu daripada lima beradik.

Beliau memilih kerjaya perubatan ketika perang dunia semakin memuncak, selepas bapanya menasihatkannya supaya belajar berdikari kerana ramai wanita kehilangan suami akibat perang.

Selepas menamatkan pengajian perubatan pada 1948, beliau berkahwin dengan pakar bedah ortopedik, Dr Shigeru pada usia 24 tahun.

Apabila suaminya mengambil alih pengurusan Hospital Kasamatsu daripada bapanya, Dr Kasamatsu turut menyertai beliau merawat pesakit di hospital berkenaan.

Pasangan itu menguruskan hospital sambil membesarkan tiga anak, malah Dr Kasamatsu mengakui pernah merawat sehingga 120 pesakit dalam sehari.

Memandangkan hospital menerima pesakit kecemasan, ada kalanya beliau terpaksa berjaga sepanjang malam untuk membantu pembedahan.

"Saya lakukan semua, daripada memeriksa pesakit, memberi ubat hinggalah menguruskan akaun," katanya mengenang zaman awal perkhidmatannya.

Apabila hospital semakin menerima ramai pesakit wad dan memerlukan tukang masak bagi menyediakan makanan, beliau nekad melakukannya sendiri.

Ketika usianya 30-an, beliau memperoleh lesen memasak untuk memenuhi keperluan hospital.

Walaupun sibuk dengan tugasan harian yang padat, Dr Kasamatsu terus bekerja cergas biarpun pernah dimasukkan ke hospital untuk rawatan kanser.

Ditanya rahsia umur panjang dan kesihatannya, beliau mengakui ia melalui amalan pemakanan.

"Banyakkan makan sayur-sayuran seperti bayam, brokoli, kubis dan bendi. Sayur-sayuran membantu menurunkan paras gula dalam darah, jadi ia baik untuk kesihatan," katanya.

Suaminya, Dr Shigeru, meninggal dunia pada 2012 pada usia 91 tahun dan kini Dr Kasamatsu tinggal sendirian di rumah bersebelahan hospital.

Pada usia 100 tahun, beliau masih mampu berjalan tanpa tongkat dengan sokongan sekeliling, selain kekal sihat secara fizikal dan mental.

Rutin hariannya ialah menyelesaikan teka silang angka, yang dianggapnya sebagai cara mencegah demensia.

Beliau memperuntukkan satu hingga dua jam sehari bagi aktiviti itu untuk memastikan mindanya terus cergas.

Selain tugas sebagai doktor, Dr Kasamatsu gemar bermain piano. Terinspirasi daripada suaminya, Dr Shigeru yang mula belajar lebih awal daripadanya, beliau mengambil langkah sama ketika berusia 70 tahun.

Kini beliau mampu bermain dengan mahir sambil bersenandung lagu seperti Moon River.

Beliau masih mengikuti kelas setiap minggu dan pernah berusaha keras menguasai karya Für Elise oleh Beethoven, sehingga berani membuat persembahan di pentas bersama pemain muda lain.

Pada masa sama, Dr Kasamatsu sentiasa cuba meningkatkan pengetahuan perubatannya dengan membaca bahan daripada persatuan perubatan setiap kali ada kesempatan."Saya tidak berasa todak sihat langsung," katanya, sambil menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang hasrat untuk bersara dalam masa terdekat.




INI BUKAN

SATU YG PELIK

KAH KAH KAH

KITA DI MALAYSIA

ADA JUGA DOKTOR

100 TAHUN

AMIN

MASIH AKTIF

MASIH CERGAS

MASIH BERKHIDMAT

UNTUK NEGARA

KHALAS

Tiada ulasan: