Kehebatan Putrajaya, bayang Mahathir warnai kritikan orang ramai terhadap 'lockdown' di KL menjelang sidang Asean
Rasa tidak puas hati semakin kedengaran berhubung keputusan kerajaan menjadikan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Asean yang bakal diadakan akhir bulan ini, susulan langkah pihak berkuasa menutup sebahagian besar pusat bandar raya itu yang mendapat kecaman kerana mengganggu aktiviti harian terutama di beberapa pusat komersial yang terkesan.
Di media sosial, orang ramai terutamanya warga kota mempersoalkan rasional di sebalik menjadikan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah, walaupun dibelenggu kesesakan lalu lintas yang semakin mencabar di samping jalan raya yang sempit.
Ramai mempersoalkan mengapa sidang kemuncak itu, yang dihadiri oleh pemimpin 10 negara Asean dan beberapa rakan dialog lain seperti India dan Amerika Syarikat, tidak diadakan di Putrajaya.
Mereka berkata Putrajaya yang menjadi pusat pentadbiran itu bukan sahaja menawarkan kemudahan bertaraf dunia, tetapi juga lebih mudah diakses disebabkan ia berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menjadi laluan masuk utama lebih 10,000 peserta dan tetamu.
Ramai turut mengimbau acara peringkat global yang pernah dianjurkan Malaysia di bawah pentadbiran sebelum ini, yang menurut mereka "tidak pernah menyusahkan orang ramai" kerana diadakan di Putrajaya, bandar raya yang dibangunkan oleh Dr Mahathir Mohamad bersama-sama Cyberjaya dan KLIA, antara mercu tanda yang terus dibayangi imej bekas perdana menteri lebih dua dekad kemudian.
"Dulu PM Mahathir lagi banyak buat persidangan yang lebih besar daripada ini," kata Abu Irfan As-Sagili, antara ratusan komen di Facebook yang memberikan reaksi terhadap berita penutupan jalan raya di Kuala Lumpur dari 23 hingga 28 Oktober bagi memudahkan pergerakan Sidang Kemuncak Asean.
"Tapi tak pernah lockdown rakyat dari keluar bekerja dan sekolah. Buat jelah kat Putrajaya. Dah memang Putrajaya tu dibuat untuk persidangan macam ini tanpa bebankan aktiviti seharian rakyat."
Manakala seorang lagi, Rohaizad Zainal, merujuk kepada kawalan pergerakan pandemik Covid-19 ketika pentadbiran Perikatan Nasional.
"PN lockdown pasal takut penyakit berjangkit merebak. Ni pasal nak bagi VVIP senang-senang berjalan kat KL jer pun. Yang sewa kedai outlet kat area situ siapa nak bayar? Pekerja-pekerja siapa nak bayar gaji kalau sebab tu jer disuruh lockdown?" tulisnya.
'Tiada lockdown'
Ketika dihubungi, Menteri Luar Mohamad Hasan menafikan terdapat "lockdown".
"Tiada lockdown. Urusan harian berjalan seperti biasa," katanya kepada MalaysiaNow.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai mengelak kawasan berhampiran KLCC di mana persidangan berlangsung disebabkan "kawalan keselamatan memang ketat".
Mohamad turut menjelaskan, Kuala Lumpur dipilih sebagai venue disebabkan kemudahan akomodasi.
"Kemudahan tempat tinggal semuanya di sekitar KLCC," katanya.
Bagaimanapun, bekas menteri Zaid Ibrahim tidak menerima alasan itu.
"Mengapa tutup sebahagian KL yang menjadi pusat aktiviti komersial, apatah lagi puluhan ribu pelajar sekolah terpaksa beralih kepada pembelajaran dalam talian ketika musim peperiksaan?" katanya.
Zaid mengingatkan Anwar bahawa antara kritikan yang dilemparkan terhadap Muhyiddin Yassin dalam menangani pandemik Covid-19 ialah perintah kawalan pergerakan (PKP).
"Tetapi sekarang dia pula adakan sekatan yang tidak perlu ini. Bukankah dia kata kepentingan rakyat perlu diutamakan?" soalnya, sambil menambah bahawa sekiranya sidang Asean diadakan di Putrajaya, ia akan mengelak kerugian besar kepada sektor perniagaan di Kuala Lumpur yang terjejas akibat penutupan jalan.
Putrajaya dan jirannya, Cyberjaya, pernah menjadi tuan rumah kepada beberapa mesyuarat dan sidang kemuncak antarabangsa, termasuk mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada 1998.
Dahulunya dipenuhi ladang kelapa sawit dan getah dan pekan kecil, Putrajaya kini terkenal dengan persiaran yang disusun rapi serta flaura dan fauna yang indah, di samping seni bina bangunan kerajaan yang memukau, menjadikannya sebahagian daripada senarai panjang legasi Mahathir dan era kepimpinannya yang menyaksikan pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia.
Kerja pembinaan Putrajaya sebahagian besarnya siap pada 1999, setahun selepas Mahathir memecat Anwar sebagai timbalannya susulan dakwaan salah guna kuasa dan kesalahan moral.
Anwar dan penyokong ketika itu mengkritik projek Putrajaya sebagai satu bentuk pembaziran, seperti mana beberapa mercu tanda lain yang muncul di bawah pentadbiran Mahathir.
Latar belakang ini, ditambah dengan legasi besar Mahathir, telah membayangi kritikan orang ramai mengenai keputusan menjadikan Kuala Lumpur tuan rumah sidang Asean.
'Trump tak peduli'
Zaid bersetuju dengan pandangan bahawa Anwar mungkin bimbang pemimpin yang hadir akan terpegun dengan Putrajaya, Cyberjaya dan KLIA, terutama Presiden AS, Donald Trump.
"Tetapi Trump tak peduli dengan sejarah, jadi dia tidak akan tahu pun Dr Mahathir adalah orang yang bina semua itu," katanya sambil menambah Anwar tidak perlu membuang masa cuba menarik perhatian Trump dengan bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur.
"Dia (Trump) lebih berminat sekiranya PM beri beberapa bidang tanah untuk Trump Tower dan padang golf Trump," katanya menyindir.
Pihak berkuasa sebelum ini memberi notis penutupan jalan dan langkah keselamatan di beberapa kawasan di pusat bandar raya, selain mengarahkan beberapa sekolah di Lembah Klang untuk menjalankan pembelajaran dalam talian sepanjang sidang Asean berjalan.
Ia di sebalik gesaan kepada Anwar untuk membatalkan jemputannya kepada Trump menyertai sidang itu.
Bantahan tersebut semakin lantang sejak beberapa hari kebelakangan ini berikutan ucapan Trump di parlimen Israel Knesset pada 13 Oktober, di mana beliau dengan bangga berkata senjata yang dibekalkan Amerika telah "digunakan dengan baik" oleh tentera Israel.
Antara jalan raya yang terjejas ialah Jalan Tun Razak dan Jalan Ampang, kedua-duanya berhampiran Kedutaan Besar AS, lokasi di mana penyokong pro-Palestin merancang untuk berhimpun pada 26 Oktober, iaitu hari ketibaan Trump.
Setakat ini, penganjur bertegas perhimpunan akan diteruskan walaupun dengan penutupan jalan raya.
"Kami akan memastikan segala atur cara berjalan dengan lancar. Sama ada akan berlaku kekerasan atau sekatan terhadap masyarakat awam, itu bergantung kepada bagaimana pihak berkuasa bertindak pada hari itu," kata aktivis Sharifah Haura Uzzahra Syed Abdul Rahman, yang mewakili Sekretariat Bantah Trump yang terdiri daripada pelbagai kumpulan yang mahu kerajaan membatalkan jemputan kepada presiden AS itu.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan