Jumaat, 17 Oktober 2025

PERJANJIAN DAMAI 2025 HANYA SELINGAN


PERJANJIAN DAMAI 

2025 

HANYA SELINGAN



Di Gaza  semenjak kemarin bunyi ledakan terhenti. Bunyi tembakan Uzi dan M16 tidak kedengaran lagi. Di udara tidak ada lagi burung besi berkeliaran.  Tapi Gaza tidak sunyi.  Kini  suara injin ratusan  kereta, motosikal  dan lori  bertali arus mula masuk membawa warga pulang. 

Ada menolak kereta sorong,  ada naik kereta kuda , kereta keldai, ada  berjalan kaki dan  ada naik basikal. Semua menuju ke jalan pulang.   Warga  Gaza membawa pulang harta kekayaan mereka -   tilam dan bantal, periuk belanga dan kain baju  yang sempat mereka selamatkan dua tahun dulu. 

Mereka pulang menuju  ke mana?

Pulang ke kampung halaman yang telah  menjadi padang jarak padang tekukur.  Setiap  warga Gaza yang berjalan pulang akan menitiskan air mata bila melihat apa yang terpampang di hadapan mata.  Dalam seribu kesedihan  dengan  mata berair mereka   akan mencari-cari kembali  dimana tegak berdiri  rumah  kediaman mereka  dua tahun dulu.  Kini yang dilihat ialah  timbunan batu dan simen dari runtuhan bangunan.  

Sang Suami mencari  Sang Isteri  – Emak  mencari Anak – Datuk mencari Cucu.  Tetangga mencari Jiran. Semua mata mencari-cari  dimana letaknya rumah kita dahulu. 

Yang tidak bertemu akan meraung sedih. Yang  di temui akan merasa  mati hidup kembali. Yang  dicari-cari tapi masih tidak ditemui akan  dianggap syahid. Di bawah runtuhan bangunan ini berapa ramai  lagi warga Gaza yang  belum dijumpai.

Berat mata memandang berat lagi   menghidu udara Gaza.

Dua tahun dahulu   Semenanjung Gaza ialah wilayah Palestin yang di duduki oleh lebih dari dua juta umat manusia.  Semenanjung yang sempit ini  telah diserang oleh bala tentera Zionis Israel bermula pada 8 Oktober 2023.

Dari udara  bom meledak. Dari jalan darat  kereta meriam menembak.  Dari kiri kanan peluru bersimpang siur. Jentolak membuka jalan  untuk kereta kebal  membedil apa sahaja yang hidup bergerak.

Bangunan tinggi diledakkan. Masjid , gereja , hospital , sekolah dan universiti – semua menjadi mangsa ledakan peluru Zionis Israel.  Angka terakhir pada 7 Oktober 2025 melaporkan  70,100 warga tewas. Majoriti yang tewas ialah wanita dan kanak-kanak.

Jabatan Kesihatan  Gaza melaporkan seramai 217 wartawan terkorban. Seramai 120 orang guru dan tenaga akademik gugur.  Seramai 224 aktivis  kemanusiaan terkorban.

Tujuan  utama Bibi Netanyahu masuk menyerang Gaza  ialah untuk memusnahkan gerila Hamas. Sebelum 7 Oktober 2023 – Hamas memiliki  30,000 gerila terlatih. Bila gencatan senjata di tanda tangani pada Senin 13 Oktober 2025  Hamas masih memiliki 18,000 gerila lengkap bersenjata. Brigade Al-Qassam dan Islamik Jihad masih gagah berdiri.

Jelas: Projek hapuskan gerila Hamas gagal.

Tujuan Kedua Netanyahu ialah untuk membebaskan  warga Israel yang di tawan oleh Hamas.  Ketika tulisan ini di garap – semua warga tebusan Isreal yang hidup telah di bebaskan.  Di beritakan 28 tebusan yang mati dan terkambus dalam bangunan masih dicari. Pasukan Palang Merah menyatakan bahawa pencarian ini akan mengambil masa yang agak lama.

Tujuan Netanyahu yang ke dua telah berjaya. 

Sosok yang  di tawan telah di bebaskan. Stesen CNN  melaporkan  Israel telah  membebaskan hampir 2,000 rakyat Palestin dari penjaranya pada hari Isnin – hari pertama perjanjian gencatan senjata Gaza.

Lebih 1,700 daripada mereka yang dibebaskan  ini adalah tahanan yang telah ditahan tanpa dakwaan oleh tentera Israel di Gaza sejak permulaan perang.

Pembebasan dan pertukaran tawanan ini  ialah fasa pertama dalam 20 poin perjanjian yang di ajukan oleh Presiden Amerika.  Sesudah ini soldadu Isreal wajib berundur dari Gaza.  Fasa ini sedang berjalan.

Presiden Trump yang selalu masuk bakul angkat sendiri  telah terbang ke Tel Aviv. Dia berucap dalam Parlimen Israel.  Ucapan Trump ini ialah membodek dirinya sendiri. Dalam masa yang sama  Trump meminta  Mahkamah Israel memberi DNAA kepada Netanyahu yang kini berhadapan dengan kes rasuah.

Kemudian Trump telah terbang ke Sharm Al – Sheikh – wilayah  pantai peranginan Laut Merah. Presiden  Mesir Jeneral Sisi telah menjadi tuan rumah untuk menyaksikan Perjanjian Damai 2025  yang menetas dari tapak tangan Trump.

Pemimpin 27 negara telah di jemput datang sama dalam majlis yang dipanggil Sidang Kemuncak Damai  2025.   Starmer dari  London , Macron dari Paris, Meloni dari  Rom, Erdogan dari Istanbul  dan Prabowo dari Jakarta adalah diantara  pemimpin negara yang di jemput.

Anwar Ibrahim dari Malaysia telah  tidak di jemput.

Berita melaporkan Trump cuba  menjemput Netanyahu hadir sama tetapi Trump telah di sailang oleh Erdorgan. Justeru  wakil Hamas juga tidak ada dalam apa yang dipanggil sidang Damai 2025  ini.

Justeru agak ganjil dan lucu  – perjanjian damai  antara Israel dan Palestin – pemain utama – para protagonis dalam sandiwara ini – tidak hadir. Hamas tidak di jemput. Netanyahu tidak hadir. 

Maka pemerhati politik dalam dunia  hanya tersenyum dan melihat Trump naik basikal masuk bakul  dan kayuh sendiri sekali lagi.

Presiden  Trump  dengan penuh ego telah menyifatkan ini adalah era baru  keharmonian di Timur Tengah. Trump  menggesa negara-negara untuk menyokong  Perjanjian Abraham dan cuba memajukan keamanan yang lebih luas di rantau.

"Kami mempunyai peluang sekali dalam seumur hidup untuk meletakkan perselisihan lama dan kebencian pahit di belakang kami," kata Trump, dan dia menggesa para pemimpin "untuk mengisytiharkan bahawa masa depan kita tidak akan diperintah oleh pergaduhan generasi yang lalu."

Bunyinya sedap didengar tapi seperti selalu Trump akan  klim : Jalan damai ini  adalah usaha dirinaya dia sendiri. Dia telah berjaya membawa damai ke wilayah ini   semenjak 3000 tahun.

Tidak dapat di nafikan  semua mata dunia pada Senin 13 Oktober 2025  memandang ke arah Mesir.  Semua mata dunia melihat Trump berlakon di pentas dengan 27  pemimpin dunia yang lain sebagai pelakon pembantu.   

Pemimpin dari Negara Arab dan Islam hanya  menjadi Pak Pacak dalam sandiwara yang skrip, lakonan dan arahan semuanya oleh Donald Mat Trump.

Hakikatnya   saya tidak  menolak  Damai 2025. Tapi dalam masa yang sama saya juga seperti ratusan warga dunia dan pemerhati politik dan geo-politik global  menyimpan perasaan was-was atau skeptikal.

Saya raya kami berhak memiliki dan menyimpan perasaan ini.

Warga dunia -  pasti gumbira bila melihat  gencatan senjata berlaku di Gaza. Dunia juga gumbira melihat warga Gaza pulang kembali ke kampung halaman walau pun yang tinggal hanya runtuhan simen. Bila perang berhenti  pasti semua menarik nafas lega.

Tapi ada beberapa perkara induk yang gagal di masukan dalam 20 poin cadangan Trump ini.   Nama Peace 2025 yang terpampang dalam imej sidang media  di akhir Kemuncak  Sidang Damai Gaza 2025  lompong lagi kosong kerana tidak di sebut niat dan cita-cita warga Palestin untuk mendirikan negara  yang bernama Palestin.

Masalah utama yang menimbulkan perang semenjak 1948 di negara Arab ialah kewujudan  negara Isreal. Israel di anggap menjajah dan merampas tanah watan milik Arab Palestin.

Selagi agenda Palestin Merdeka tidak menjadi agenda utama – perang pasti akan datang sekali lagi.

Damai 2025 ini hanya selingan sahaja.    Ini bukan hanya  kerana Hamas dan Netanyahu tidak di jemput.   Apa yang lebih penting untuk dibincangkan  oleh pemimpin negara di dunia ini ialah  mendirikan negara Palestin.

Projek damai – Penyelesaian Dua Negara – langsung tidak di sebut dalam dokumen  Damai 2025. Malah  dunia kini  melihat bahawa selingan ini hanya memberi  masa untuk Isreal bernafas dan soldadu Isreal berhimpun kembali sebelum melancarkan serangan  baru.

Dunia juga melihat sambil tersenyum akan tingkah  laku Donald Trump yang terlalu gian untuk mendapat  Hadiah Nobel Keamanan.  Bermimpi untuk mendapat hadiah Nobel ini bukan satu jenayah. Saya yakin ramai pemimpin  dari pelbagai negara juga  memimpikan hadiah ini.

Apa yang menimbulkan skeptikal  dan kurang yakin akan Damai 2025  ialah sikap Netanyahu dan kuam Zionis.  Niat dan projek Isreal Raya dari Yahudi Zionis dan Kristian Zionis  tidak pernah padam. 

Dunia wajib sedar bahawa  ketika tulisan ini di garap soldadu Isreal hanya 26 kilometer  atau 16 batu jauhnya  dari  Damsyik  – ibu kota Syria.  Bukit Golan  milik Syria masih lagi dalam tawanan Israel.

Dari babak-babak politik yang telah berlalu – dari pemerhatian akan tingkah laku Israel – ramai pemerhati politik  berpendapat  Isreal akan mencari helah dan sebab musabab untuk  memulakan serang sekali lagi.

Satu pandangan yang semakin meluas dikalangan pemerhati geo-politik ialah Damai 2025 ini adalah permulaan satu projek baru.  Di belakang Damai 2025 ini ialah projek untuk menyerang Iran. 

Jika Hamas  dan Islamik Jihad berjaya di mandulkan seperti  Penguasa Palestin di Tebing Barat maka yang masih tegak  berani bangun  melawan Isreal hanya Hizbullah dan Houthi. 

Di belakang Hizbullah dan Houthi ini ialah Iran. Justeru   apakah selepas  Damai 2025 ini  projek memandul kan Iran akan bermula? Tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)


TULISAN INI 
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI .COM
https://www.malaysiakini.com/columns/758304



Tiada ulasan: