Kerajaan Digesa Tubuh Arkib Diraja & Hidupkan Semula Kajian Manuskrip Melayu
KUALA LUMPUR, 10 DIS 25 — Senator Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan menegur kerajaan kerana gagal memelihara warisan intelektual negara, mendedahkan bahawa ribuan manuskrip Melayu lama masih tidak dikaji dan tidak diangkat sebagai agenda nasional meskipun menjadi khazanah penting peradaban Melayu.
Dalam ucapan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara, Awang Sariyan berkata usaha memartabatkan warisan Melayu, termasuk manuskrip lama, terlalu perlahan dan tidak disokong oleh peruntukan yang mencukupi.
Beliau menjelaskan bahawa Puluhan ribu manuskrip wujud, tetapi hanya sekitar 200 naskhah telah dikaji dan diterbitkan, ia suatu angka yang dianggap “sangat memalukan bagi sebuah negara yang mendakwa akar tamadunnya kaya dan bersejarah”.
“Kerajaan perlu menjadikan pengkajian dan penerbitan manuskrip Melayu lama sebagai agenda negara. Rentaknya sekarang terlalu perlahan,” tegas beliau di Dewan Negara.
Awang turut mengkritik fungsi Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu yang menurutnya masih sekadar bertindak sebagai pusat repositori, bukan sebuah pusat penyelidikan aktif yang mampu menerbitkan karya ilmiah besar berdasarkan manuskrip berharga tersebut.
Selain isu manuskrip, Awang Sariyan juga menggesa kerajaan memulakan langkah menubuhkan Arkib Diraja, bermula dengan Arkib Yang di-Pertuan Agong dan diikuti arkib negeri-negeri, bagi memastikan dokumen rasmi institusi Raja Berperlembagaan tersusun dan dipelihara dengan sistematik.
“Banyak dokumen dan artifak diraja berselerakan. Sebuah Arkib Diraja perlu diwujudkan agar warisan pemerintahan kita tidak hilang begitu sahaja,” katanya.
Beliau menambah bahawa Malaysia selama ini terlalu menumpukan perhatian pada pembangunan fizikal, tetapi mengabaikan pembangunan jati diri dan warisan intelektual bangsa yang sepatutnya menjadi tunjang kekuatan sebuah negara berdaulat.
Awang Sariyan turut mempersoalkan mengapa tiada peruntukan khusus dalam Belanjawan 2026 untuk agenda mengangkat manuskrip Melayu, sedangkan negara menetapkan matlamat menjadi masyarakat Madani yang berasaskan ilmu dan tradisi tamadun sendiri. @politiko.my


Tiada ulasan:
Catat Ulasan