Israel lancar serangan udara besar-besaran di Lubnan
BEIRUT: Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas beberapa kawasan di Lubnan, termasuk Lembah Bekaa, Baalbek dan Ghaziyeh, sekali gus melanggar perjanjian gencatan senjata yang dimeterai dengan Hezbollah.
Menurut Agensi Berita Nasional Lubnan, sekurang-kurangnya tujuh serangan udara dilancarkan ke atas bandar-bandar di Lembah Bekaa dan kawasan pergunungan Baalbek di timur dan timur laut negara itu, jauh dari sempadan selatan dengan Israel.
Serangan turut menyasarkan kawasan Brital, Nasiriyah, Jarmak, Mahmoudiya dan Khardali, menyebabkan kebakaran besar di sebuah gudang di Ghaziyeh.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, mengesahkan bahawa serangan itu menyasarkan tapak pengeluaran peluru berpandu tepat milik Hezbollah, yang didakwa cuba membina semula kekuatan ketenteraannya.
"Setiap cubaan oleh Hizbullah untuk pulih atau mengancam akan dibalas dengan kekuatan tanpa tolak ansur," katanya kepada Channel 12.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata sasaran serangan termasuk tapak pembuatan peluru berpandu tepat milik Hizbullah yang terbesar.
Tentera Israel pula memaklumkan bahawa mereka menyerang infrastruktur yang digunakan untuk menghasilkan dan menyimpan senjata strategik di selatan Lubnan dan Lembah Bekaa di timur negara itu.
Agensi Berita Nasional Lubnan yang dikendalikan kerajaan turut melaporkan serangan udara di Bekaa dan selatan Lubnan.
Katz dan tentera Israel menuduh Hezbollah cuba membina semula infrastruktur ketenteraan mereka dan menggesa tentera Lubnan mengambil tindakan melucutkan senjata kumpulan militan berkenaan.
Pegawai tempatan melaporkan bahawa lebih 60 orang terbunuh dan lebih 120 cedera dalam serangan itu, menjadikannya hari paling berdarah di Baalbek dalam tempoh lebih setahun.
Di bandar Ram, seorang wanita dan empat anaknya antara yang terkorban.
Pasukan penyelamat masih berusaha mengeluarkan mangsa dari runtuhan bangunan.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun, dalam ucapan rasmi pada Khamis, mengulangi desakan supaya Hizbullah menyerahkan senjata kepada tentera Lubnan, satu tuntutan yang ditolak oleh kumpulan itu.
Aoun turut menuntut penarikan segera tentera Israel dari wilayah Lubnan, pembebasan tahanan dan pemberhentian serangan udara serta pembunuhan sasaran oleh Israel.
Hizbullah menegaskan bahawa pelucutan senjata hanya akan dibincangkan selepas Israel menghentikan serangan dan berundur sepenuhnya dari Lubnan.
Ketua Hizbullah, Sheikh Naim Qassem, menyifatkan tuntutan pelucutan senjata sebagai 'tunduk kepada tuntutan Israel'.
Konflik antara Israel dan Hizbullah bermula pada Oktober 2023, apabila pertubuhan itu melancarkan serangan sebagai solidariti terhadap Hamas di Gaza.
Walaupun gencatan senjata dicapai pada November 2024, serangan Israel ke atas Lubnan berterusan hampir setiap hari, dengan lebih 2,700 kematian direkodkan sejak itu. - AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan