Russia gempur Ukraine 'besar-besaran' guna peluru berpandu dan dron
KYIV: Ukraine hari ini mendakwa Russia melancarkan serangan dengan menggunakan ratusan dron dan peluru berpandu sepanjang malam, lapor South China Morning Post (SCMP).
Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang di ibu negaranya di sini, sementara negara jiran Poland mengerahkan jet pejuang bagi mengawal ruang udara.
Serangan itu berlaku selepas Russia memberi amaran kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) supaya tidak mengambil tindakan lebih tegas sebagai balasan berhubung dakwaan pencerobohan ke ruang udara yang dilindungi pakatan ketenteraan itu.
Serangan bertubi-tubi itu juga menyusul selepas pendedahan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, bahawa Kyiv menerima sistem pertahanan udara Patriot buatan Amerika Syarikat (AS) daripada Israel bagi menangkis serangan Russia.
"Russia melancarkan satu lagi serangan udara besar-besaran ke atas beberapa lokasi Ukraine ketika orang ramai sedang tidur.
"Sekali lagi, ratusan dron dan peluru berpandu, memusnahkan bangunan kediaman dan mengakibatkan kematian orang awam," kata Menteri Luar, Andriy Sybiga menerusi media sosial.
Beliau memuat naik rakaman api marak dari tingkap sebuah blok kediaman bertingkat dengan menyifatkan kebakaran itu berpunca daripada serangan berkenaan.
Ketua pentadbiran tentera di Kyiv, Timur Tkachenko, sebelum ini berkata laporan awal menunjukkan berlaku 'tiga kematian' termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Semakan semula mendapati jumlah korban meningkat kepada empat orang selepas penemuan mayat seorang mangsa.
Beliau memberi amaran bahawa menurut jangkaannya, lebih banyak kematian mungkin berlaku ketika pasukan petugas melakukan kerja menyelamat.
Di wilayah Kyiv yang lebih luas mengelilingi ibu negara, serangan Russia menyebabkan sekurang-kurangnya 27 orang cedera, kata Ketua Pentadbiran Tentera, Mykola Kalachnyk menerusi Telegram.
Gabenor wilayah tenggara Zaporizhzhia pula berkata, serangan Russia di kawasan itu menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang cedera.
Ketua pejabat Presiden Ukraine, Andriy Yermak menuduh Moscow melancarkan 'perang terhadap orang awam' sambil menggesa tindakan lebih besar daripada sekutu Barat Kyiv.
"Akan ada tindak balas terhadap tindakan ini. Namun, tekanan ekonomi Barat terhadap Russia juga mesti lebih kuat," katanya. - AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan