Tolak calon cenderung rasuah, gesa mufti Perlis
MUFTI Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menyeru umat Islam tidak mengundi calon yang mempunyai rekod atau kelihatan sedia terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa pada pilihan raya umum ini.
Beliau juga menyeru mereka supaya tidak mengundi calon yang “menzahir sikap zalim” kerana mengutamakan kepentingan diri, keluarga, atau bersikap perkauman dan berpuak-puak sehingga berlaku tidak adil.
Merujuk dalil Al-Quran dan hadis, Asri mengingatkan bahawa mereka yang terlibat atau berpotensi melakukan rasuah adalah orang yang zalim dan merosakkan negara.
“Calon seperti ini termasuk dalam golongan yang zalim. Mengundi mereka bererti memberikan kuasa kepada orang yang akan berbuat zalim dalam negara,” katanya dalam satu tulisan yang tersiar di laman web rasmi pejabatnya.
Asri berkata undi dalam pilihan raya bermakna memberi mandat dan kuasa, yang sekiranya dapat pada mereka yang cenderung rasuah boleh membawa kezaliman kepada rakyat.
“Maka, setiap orang hendaklah berfikir kesan undi yang diberikan kepada seseorang calon terhadap negara dan rakyat,” katanya.
Tulisan itu bertajuk “Senarai Calon PRU Yang Tidak Boleh Diundi”, dan menyenaraikan tujuh kategori mereka yang tidak patut diangkat sebagai pemimpin.
Asri mengingatkan tulisannya bukan mahu membincangkan siapa yang mesti dipilih oleh pengundi Muslim kerana ia terserah pada kebijaksanaan mereka, sebaliknya hanya mahu menyebut calon yang tidak boleh diundi.
“Tulisan ini lebih merujuk kepada calon, bukan parti politik,” katanya.
Ciri lain calon yang mesti ditolak pengundi Muslim, mengikut pandangan Asri, termasuk mereka yang menzahirkan permusuhan dengan Islam dan mereka yang jelas menyokong pihak memusuhi Islam sekalipun dia mendakwa dirinya seorang Muslim.
“Dalam konteks kehidupan bernegara pula, golongan ini tidak akan mewujudkan ketenteraman sebaliknya akan mencetuskan ketegangan dalam masyarakat yang boleh membawa huru hara dan merosakkan keharmonian hidup bernegara.
“Memilih mereka bererti mengkhianati agama dan negara,” katanya.
Beliau juga menyeru pengundi Muslim menolak calon yang mempunyai rekod perkhidmatan yang buruk atau jelas tidak berupaya menjalankan peranannya.
Asri juga menyebut calon suka berbohong sebagai ciri akhir mereka yang tidak patut diundi pada pilihan raya nanti.
“Ini dapat dikesan dengan melihat kepada latar diri calon sebelum ini seperti menipu menggunakan nas agama, menipu dalam perniagaan, menipu sijil, menipu di tempat kerja, menipu orang lain dalam berurusan dan seumpamanya,” katanya.
Memetik hadis nabi mengenai bahaya pembohongan yang membawa kepada kejahatan, Asri berkata mengangkat pemimpin yang berbohong akan merosakkan negara.
Lebih 21.1 juta pengundi akan membuat pilihan mereka minggu ini, dengan pengundian awal pada 15 November dan hari penentuan pada 19 November.
Mandat Parlimen ini adalah untuk tempoh lima tahun sehingga 2027. – 12 November, 2022.
3 ulasan:
Rasuah sudah jadi budaya Melayu, macam mana mahu tolak? Tolak dengan apa? Bulldozer kah? Tolak maksud apa? Buang kerja kah atau tukar tempat lain kah? Cuba jelaskan dengan baik kah kah kah, susah woit susah, pencuri perasuah digelar Bossku ini lagi berat kah kah tolak lagu mana
Yang gemar memfitnah, Asri tak komen kah? Kalau tak komen saya tau DNA nya...
Yang gemar memfitnah, Maza tak komen kah? Kalau tak komen, saya tahu DNA Maza!
Catat Ulasan