Ketua Pentagon beri amaran China sedang 'bersiap sedia' guna kekuatan tentera di Asia
SINGAPURA: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth, semalam memberi amaran China sedang 'secara bersiap sedia' untuk menggunakan kekuatan ketenteraan bagi mengubah keseimbangan kuasa di Asia.
Bagaimanapun kenyataan itu menerima kecaman keras daripada Beijing.
Ketua Pentagon itu berkata, demikian dalam Forum Keselamatan tahunan di Singapura, ketika pentadbiran Presiden Donald Trump sedang bertelagah dengan China dalam isu perdagangan, teknologi dan pengaruh geopolitik.
Kementerian Luar China membantah keras ucapan itu dan berkata pihaknya telah mengemukakan bantahan rasmi kepada AS, khususnya berkaitan kenyataan Hegseth mengenai Taiwan.
Sejak Trump mengambil alih pentadbiran pada Januari, AS melancarkan perang perdagangan dengan China, menyekat aksesnya kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) utama dan memperkukuhkan hubungan keselamatan dengan sekutu seperti Filipina yang kini dalam pertikaian wilayah yang semakin memuncak dengan Beijing.
"Ancaman daripada China adalah nyata dan mungkin berlaku dalam masa terdekat," kata Hegseth dalam ucapan di Dialog Shangri-La yang dihadiri pegawai pertahanan dari seluruh dunia.
Beliau berkata tentera China sedang membina keupayaan untuk menyerang Taiwan dan 'sedang menjalani latihan untuk situasi sebenar'.
China meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap Taiwan, termasuk mengadakan latihan berskala besar di sekitar pulau demokratik yang mentadbir sendiri itu, namun latihan itu sering dianggap sebagai persiapan untuk sekatan atau serangan.
AS kini 'menyusun semula strateginya bagi menghalang pencerobohan oleh China komunis'," kata Hegseth.
Dalam pada itu, beliau menggesa sekutu dan rakan serantau AS agar segera memperkukuhkan sistem pertahanan bagi menghadapi ancaman yang kian memuncak.
Di Beijing, Kementerian Luar China menegaskan AS tidak boleh menjadikan isu Taiwan sebagai alat untuk mengekang China serta memberi amaran supaya negara itu tidak bermain dengan api'.
Hegseth menyifatkan tindakan China sebagai 'amaran serius' dengan menuduh Beijing menceroboh keselamatan melalui serangan siber, mengganggu negara jiran serta 'merampas dan mempersenjatai kawasan secara haram' di Laut China Selatan yang masih dipertikaikan.
China menuntut hampir keseluruhan perairan itu yang menjadi laluan bagi lebih 60 peratus perdagangan maritim global walaupun mahkamah antarabangsa menolak tuntutan itu sebagai tidak sah.
Menurut pegawai AS, China beberapa kali bertembung dengan Filipina di perairan strategik itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan isu itu dijangka menjadi tumpuan utama dalam perbincangan forum di Singapura.
Ketika Hegseth berucap di Singapura, tentera China mengumumkan angkatan laut dan udaranya sedang menjalankan rondaan 'kesiapsiagaan tempur' secara rutin di sekitar Terumbu Scarborough, iaitu gugusan terumbu dan batuan yang dipertikaikan antara Beijing dan Manila.
China tidak menghantar pegawai tertinggi kementerian pertahanannya ke sidang kemuncak itu, sebaliknya diwakili oleh delegasi dari Universiti Pertahanan Nasional Tentera Pembebasan Rakyat yang diketuai Laksamana Muda Hu Gangfeng.
Tanpa menyebut nama Hegseth secara langsung, Hu berkata, ucapan itu adalah 'tindakan yang pada asasnya bertujuan menimbulkan kekacauan, mewujudkan perpecahan, menghasut konfrontasi dan menggugat kestabilan Asia-Pasifik'.
Kenyataan Hegseth dibuat selepas Trump mencetuskan ketegangan baharu dalam perdagangan dengan China dengan mendakwa Beijing telah 'melanggar' perjanjian untuk meredakan tarif ketika rundingan antara kedua-dua pihak dilihat menemui jalan buntu.
Dua ekonomi terbesar dunia itu sebelum ini bersetuju mengurangkan sementara tarif tinggi yang dikenakan antara satu sama lain, dengan menghentikannya selama 90 hari.
Semalam, bagi meyakinkan sekutu AS pada Sabtu, Hegseth berkata, rantau Asia-Pasifik adalah 'teater keutamaan Amerika' dan berikrar untuk memastikan "China tidak akan dapat mendominasi kita — atau sekutu dan rakan kita."
Beliau berkata, AS telah meningkatkan kerjasama dengan sekutu termasuk Filipina dan Jepun dan mengulangi janji Trump bahawa 'China tidak akan menceroboh (Taiwan) sepanjang pemerintahannya'.
Namun, beliau menggesa rakan-rakan AS di rantau ini supaya meningkatkan perbelanjaan ketenteraan dan 'menaik taraf pertahanan mereka dengan segera'.
"Sekutu Asia harus melihat kepada negara-negara di Eropah sebagai contoh baharu," kata Hegseth yang merujuk kepada ikrar negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) termasuk Jerman untuk bergerak ke arah sasaran perbelanjaan pertahanan lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan Trump.
"Penghalang (deterrence) bukan sesuatu yang murah."


1 ulasan:
Penjajahan adalah bentuk terakhir ekonomi kapitalis. China merah adalah communist? Tidak lagi.
Catat Ulasan