Trump umum Malaysia kena tarif import 25% mulai 1 Ogos
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan bahawa semua barangan import dari Malaysia akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus bermula 1 Ogos ini. Angka itu merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding dengan tarif yang telah diumumkan pada April.
Dalam satu kenyataan yang dikongsi melalui platform Truth Social milik Trump Media & Technology Group, dia menjelaskan bahawa keputusan itu diambil bagi melindungi industri dalam negara itu daripada apa yang didakwa sebagai tindakan perdagangan yang tidak adil oleh beberapa buah negara.
“Kita tidak lagi boleh membiarkan negara lain mengambil kesempatan terhadap kita.
“Bermula 1 Ogos, semua import dari Malaysia akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus,” kata Trump dalam surat rasmi yang dialamatkan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Malaysia bukan satu-satunya negara yang terkesan dengan dasar baharu ini. Beberapa negara lain seperti Jepun, Korea Selatan, Tunisia dan Kazakhstan turut dikenakan tarif pada kadar yang sama, iaitu 25 peratus.
Sementara itu, kadar lebih tinggi dikenakan terhadap beberapa negara lain: Afrika Selatan dan Bosnia & Herzegovina (30 peratus), Serbia dan Bangladesh (35 peratus), Kemboja dan Thailand (36 peratus), serta kadar tariff setinggi 40 peratus bagi Laos dan Myanmar.
Dalam surat yang hampir sama kepada setiap negara, Trump meminta para pemimpin terbabit agar memahami bahawa kadar tarif tersebut "adalah jauh lebih rendah daripada apa yang diperlukan untuk menghapuskan ketidakseimbangan defisit perdagangan yang kami alami dengan negara anda."
Trump turut memberi amaran bahawa sekiranya negara-negara tersebut, termasuk Malaysia menaikkan tarif mereka sebagai tindak balas, Amerika Syarikat akan meningkatkan tarifnya dengan kadar yang sama.
Dia menyatakan bahawa tiada tarif akan dikenakan sekiranya negara-negara berkenaan atau syarikat mereka memilih untuk membina atau mengeluarkan produk di Amerika Syarikat, dan "malah, kami akan melakukan segala yang mungkin untuk meluluskan permohonan dengan cepat, profesional dan secara rutin – dalam erti kata lain, dalam tempoh beberapa minggu."
Trump turut menyebut bahawa "sekiranya kamu ingin membuka pasaran perdagangan kamu yang selama ini tertutup kepada Amerika Syarikat, dan menghapuskan dasar tarif dan bukan tarif serta halangan perdagangan, kami mungkin akan mempertimbangkan semula kandungan surat ini."
Langkah ini susulan pengumuman Trump sebelum ini pada 2 April, dikenali sebagai ‘tarif hari pembebasan’, yang memperkenalkan tarif sebanyak 24 peratus ke atas import dari Jepun dan 25 peratus terhadap Korea Selatan.
Malaysia turut termasuk dalam senarai negara yang terkesan.
Namun, pelaksanaan tarif tersebut telah ditangguhkan selama 90 hari oleh pentadbiran Trump bagi memberi ruang kepada rundingan bersama negara-negara terlibat. Tempoh penangguhan itu dijadualkan berakhir pada Rabu ini.
Malaysia telah berunding dengan Washington mengenai tarif sejak April, dengan matlamat untuk mengurangkan tarif 24 peratus yang dikenakan sebelum ini, dengan rundingan terkini diadakan pada 18 Jun lalu.
Pengumuman itu dibuat menjelang lawatan pertama Setiausaha Negara AS Marco Rubio ke Kuala Lumpur bagi menghadiri persidangan pascamenteri Asean-AS dan mesyuarat lain di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang bermula hari ini.
Walau bagaimanapun, Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt memaklumkan bahawa Presiden Trump akan menandatangani satu perintah eksekutif untuk melanjutkan penangguhan tersebut sehingga 1 Ogos.
“Surat pemberitahuan telah dihantar kepada negara-negara yang terlibat, dan lebih banyak surat akan menyusul dalam masa terdekat,” jelas Leavitt dalam kenyataan medianya.


1 ulasan:
nak turunkan dari kadar asal 24%, end up naik 1%.. hahahahah, dan berita jibauk ni tak pulak bgtau yang vietnam dapat turun tariff asal dari 46% ke 20%... ketimbang oh ketimbang
Catat Ulasan