Saifuddin: PKR tak goyah walau Rafizi, lapan MP desak RCI kehakiman
Bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memberi keyakinan betapa pandangan oleh sembilan ahli Parlimen PKR berhubung isu pelantikan hakim tidak memberi kesan buruk kepada parti mahupun kerajaan.
Ini kerana katanya, PKR sebelum ini pernah mendapat pandangan yang ‘lebih tajam’ daripada apa yang dinyatakan oleh ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli serta lapan rakan sejawatan lain, semalam.
“Itu pandangan yang mereka berikan, itu saya kata sebagai satu parti bercakap dalam konteks parti, parti ini parti terbuka, pandangan yang lebih tajam daripada itu pun kita pernah terima,” katanya pada sidang media ketika menghadiri program Intan Minister’s Conversation 2025 di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Kuala Lumpur, hari ini.
Saifuddin yang juga menteri dalam negeri berkata demikian ketika ditanya sejauh mana tindakan oleh sembilan ahli parlimen berkenaan akan memberi impak buruk terhadap PH.
Semalam Rafizi bersama beberapa ahli Parlimen PKR mendesak penubuhan suruhanjaya siasatan (RCI) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) berhubung pelantikan dalam badan kehakiman, termasuk jawatan tertinggi dalam institusi berkenaan.
Mereka menyatakan harapan agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menerima sebarang permintaan untuk menghadapi cadangan prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) berhubung isu terbabit.
Bercakap semasa sidang media dengan barisan enam lagi ahli parlimen PKR, semalam, bekas menteri ekonomi itu turut menafikan percubaan untuk mendakwa campur tangan Anwar dalam pelantikan tertinggi kehakiman.
Saifuddin yang kini pengarah pilihan raya PKR berkata, parti itu sentiasa menerima pandangan berbeza dan meraikan perbezaan pendapat.
“Alhamdulillah, PKR satu parti yang terbuka meraikan dan menerima perbezaan pendapat dan itu pandangan daripada backbenchers terhadap kerajaan hari ini.
“Bagi orang lain mungkin nampak ‘eh apa ni’, bagi PKR, ini parti terbuka parti yang meraikan perbezaan pendapat dan kebebasan memberikan pandangan, ‘ahlan wasahlan’, saya ucap terima kasih dan hargai pandangan mereka,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim yang menyatakan tindakan sembilan ahli Parlimen PKR sebagai hilang kepercayaan kepada Anwar - Saifuddin menegaskan itu juga satu pandangan terbuka.
“Itu juga satu pandangan terbuka, kita kena raikan,” katanya ringkas.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan