Oleh A Kadir Jasin
SESIAPA yang tahu sejarah, tidak akan terkejut sangat dengan perjanjian dagang yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, dan Presiden Amerika Syarikat, Donald John Trump pada 26 Oktober lalu.
2. Di sebalik perjanjian itu ialah seorang pemimpin kuasa besar yang terdesak hendak mempertahankan ekonomi negaranya daripada kejatuhan sambil meluaskan pengaruh ke seluruh dunia.
3. Di pihak satu lagi, seorang pemimpin sebuah negara membangun yang mengidamkan keabsahan dan sanjungan dunia.
4. Diputar laju ke belakang 151 tahun ke tahun 1874, ketika mana Syarikat Hindia Timur Inggeris sedang berusaha memperluaskan hegemoni ekonomi dan politik ke atas Semenanjung Tanah Melayu, keadaan yang hampir serupa telah terjadi. Setelah mendapat Pulau Pinang pada 1786 dan Singapura pada 1819 daripada Raja-raja Melayu dan Melaka daripada Belanda pada tahun 1824, selera Inggeris semakin besar.
4. Pucuk dicita ulam mendatang. Di negeri Perak, Raja Muda yang terlepas jawatan berhasrat merampas balik takhta. Maka beliau, yang namanya Raja Abdullah, meminta tolong sahabatnya, Tan Kim Cheng di Singapura.
5. Tan Kim Cheng ini ahli kongsi gelap yang berjaya menjadi peniaga, ahli politik dan diplomat. Sumber sejarah mengatakan dia adalah anggota kongsi gelap Ghee Him.
6. Tan berpaling kepada sahabatnya, seorang pedagang Inggeris bernama William H. Read. Mereka mengarang sepucuk surat bagi pihak Raja Abdullah untuk dihantar kepada Gabenor Negeri-negeri Selat, Andrew Clarke.
7. Dengan persekongkolan itu, termeterailah Perjanjian Pangkor pada 1874 yang menandakan permulaan penjajahan Inggeris ke atas negeri-negeri Melayu melalui Sistem Residen.
8. Natijahnya, akibat pemburuan kuasa seorang pembesar Melayu (Raja Abdullah) dengan dibantu oleh seorang tauke Cina (Tan Kim Cheng) dan helah seorang pedagang Inggeris (William Read), Tanah Melayu terjajah.
9. Balik ke zaman sekarang, Zaman Madani, ada ulasan dan analisis media serta perbahasan Parlimen mengatakan perjanjian Anwar-Trump itu memberi ruang kepada Amerika melakukan penjajah bentuk baru ke atas negara kita seperti Perjanjian Pangkor memberi peluang kepada Inggeris menjajah Tanah Melayu.
10. Nada bahasanya memang menjurus ke arah itu dengan frasa “Malaysia shall” (Malaysia wajib) mengisi sebahagian besar teks perjanjian itu yang ditulis dalam bahasa Inggeris Amerika.
11. Saya rasa perjanjian ini wajib dibentang untuk perbahasan di Parlimen. Pandangan rambang seorang dua ahli tidak memadai. Wajib buat macam Parlimen (Kongres) Amerika yang baru semalam mengemukakan rang undang-undang bagi membatalkan perintah tarif Trump ke atas Brazil, Kanada dan beberapa buah negara lain. Terbaru, Senate Amerika meluluskan dua resolusi bagi membatalkan perintah tariff Trump terhadap Kanada dan Brazil.
12 . Jangan terlepas ruang bernafas, berfikir dan bertindak yang termaktub dalam Perkara 7:5 perjanjian Anwar-Trump yang berbunyi: “Termination. Either Party may terminate this Agreement by written notification to the other Party. Termination shall take effect 180 days after the date of the notification”. (Pembatalan. Mana-mana satu pihak boleh membatalkan perjanjian ini melalui pemakluman bertulis kepada pihak satu lagi. Pembatalan wajib (shall) berkuatkuasa 180 hari selepas tarikh pemakluman).
Wallahuaklam.


1 ulasan:
Serupa dalam filem perjanjian syaitan....syaitan yg dpt hisap darah ..manusia mati kering...nan bo tinan, kui bo ti kui
Catat Ulasan