HARI SELASA
NAJIB
MELAWAN
Pada hari Ahad 5hb Julai 2015 - Astroawani mengeluarkan berita gempak - Najib akan saman WSJ Selasa ini. Portal Star Online juga membuat laporan yang sama. Akhbar harian dan portal berita diseluruh Malaysia melaporkan berita : HARI SELASA.
Satu Malaysia jadi tegang menunggu hari Selasa. Najib mahu menyaman akhbar The Wall Street Journal (WSJ) yang berpusat di New York pada hari Selasa. WSJ adalah harian yang paling berpengaruh dalam hal ehwal dunia kapitalis. Kaum pemodal antarabangsa menjadikan WSJ ini sebagai kitab hadis rujukan.
Hebat. Anak Melayu dari Pekan cukup berani bangun melawan tohmah dan fitnah media milik kaum Zionis-Anglo-Amerikan. Berita Najib akan menyaman WSJ pada hari Selasa ini cukup gempak lagi mengerunkan.
Najib ialah Presiden United Malays National Organisation - parti berkuasa di Malaysia, isteri… opps suami kepada Rosmah Mansor - pemilik koleksi Beg Birkin terbanyak dalam dunia, ayah tiri Riza Aziz, kawan niaga Jho Low dan merangkap Ketua Pengarah 1MDB telah dihina oleh WSJ. Maka satu Malaysia ternanti-nanti apa akan terjadi pada Hari Selasa 7 Julai 2015.
Tajuk berita Astroawani ini muncul akibat dari laporan The New York Times (NYT) tentang pencurian duit 1MDB yang dilakukan oleh Najib. Pada 5 Febuari 2015 NYT meledakan tajuk berita - Jho Low well Connected in Malaysia, has an Appetite for New York. Akhbar NYT bertanggung jawab membocorkan kepada dunia tentang peranan Najib dalam rompakan dan pencurian duit 1MDB.
Laporan berita dari NYT ini mengemparkan dunia. Inilah permulaan kesah pencurian duit yang terbesar dalam sejarah dunia. Semenjak Kun Fayakun - rompakan yang dijalankan oleh Najib inilah yang paling besar pernah berlaku dalam galaxi kita - The Milky Way.
Department of Justice Amerika (DOJ) - Jabatan Keadilan Amerika - mentakrif kes Najib mencuri duit 1MDB ini sebagai rompakan yang dilakukan oleh pemimpin negera. Justeru mengikut takrifan DOJ
Najib ialah seorang kleptokrat. Kleptokrat memberi makna pemimpin negara yang mencuri dana negara.
Malaysia kini bukan lagi negara demokrasi tetapi negara kleptokrasi. Negara yang diurus tadbir melalui pencurian. Ini bukan fitnah Hishamuddin Rais. Ini takrifan DOJ. Amin.
Tajuk berita - Najib akan saman WSJ hari Selasa - memperlihatkan Najib yang garang. Najib seorang pemimpin Melayu Islam yang syumul jujur menjadi garang akibat dari fitnah dan tohmah media luar negara. Hidup Melayu!
Najib mahu dirinya dilihat suci bersih. Najib mahu membuktikan bahawa dirinya bukan pencuri atau penyangak. Jauh sekali dituduh sebagai Lanun Bugis.
Justeru Najib akan menyaman WSJ pada hari Selasa 7 Julai 2015.
Selasa datang Selasa pergi. Selasa terapong Selasa tenggelam. Bertaburan hari Selasa yang dijanjikan oleh Najib sampai dan hilang bagitu saja. Najib tidak menyaman WSJ.
Minggu menjadi bulan. Bulan datang bulan pergi. Selasa sampai selasa senyap. Najib TIDAK juga menyaman WSJ. Bulan menjadi tahun. Tahun berganti. Saman Najib tak kunjung sampai kepada WSJ.
Dari hari Sabtu 5hb Julai 2015 hingga ke hari ini Senin 2 April 2018 - Najib masih belum menyaman. Senin ini saya menggarap tulisan ini - apakah esok Selasa 3 April Najib akan menyaman WSJ? Satu dunia sedang menunggu.
Kenapa jawapan garang Najib kini menjadi lembik. Kenapa Najib tidak menyaman WSJ. Kenapa Najib senyap menikus apabila DOJ menuduh MO1 sebagai kepala pencuri. Dari laporan DOJ satu dunia diberitahu bahawa pencuri duit 1MDB ialah Malaysian Officer Number One (MO1). MO1 ini pastilah Datuk Seri Mappadulung Daeng Manttimung Karaeng Sanrobone Mohd Najib Razak.
Apakah Mat Najib pahlawan Bugis a.k.a Lanun Bugis ini telah jatuh lembik lagi manai. Mat Najib jadi lembik manai kerana terlalu banyak makan nasi kangkang opps… maaf.. silap kerana terlalu banyak makan nasi kang kong yang harganya semakin murah. Atau ada sebab-sebab lain?
Pasti ada sesuatu telah berlaku dibelakang tabir. Hari Selasa yang terpancut dari mulut Najib itu adalah niat hati Najib yang jujur. Mat Najib mahu membersihkan namanya dari dihina dan diperlekeh oleh media antarabangsa sebagai pencuri.
Tapi dibelakang tabir ada berselirat Mat Dedak yang bersedia memberi nasehat kepada Mat Najib. Antara penasehat yang diketahui umum ialah Tuan Haji Hadi Awang. Selainnya bergerak gelap dibelakang tabir.
Pasti ada Mat Dedak penasehat Najib yang memiliki latar belakang media. Mat Dedak ini pasti faham dan sedar akan cara akhbar luar negara bergerak. Laporan NYT atau WSJ bukan ambil muat sahaja. Selidikan telah berbulan-bulan dijalankan. Jika disaman pasti banyak lagi maklumat akan pecah terbarai.
Jika ada kes saman di mahkamah bukan saja kalong berlian merah jambu milik Kak Mah akan dilaporkan. Berita Kak Mah bershopping juga akan bocor. Bukan bershopping di Victoria’s Secret atau di Jakel yang cekai mekai tapi di Bordelle of London untuk ‘matching’ warna coli dengan warna beg Birkin.
‘Bos saman ini bahaya bos… lebih baik diamkan saje…kita buat donno kita minta Jakim siasat Sajat tu jantan ke betina. Kalehkan berita. Pasti jadi heboh dan tenggelam berita saman ….Kita buat rancangn lain.”
Najib menjawab tuduhan WSJ dan NYT dengan rancangan lain. Dengan senyap-senyap Mat Najib mencari jalan untuk dapat bertemu dengan Presiden Trump. Ini berjaya dilakukan maka bopeng muka WSJ dan NYT. Dua akhbar Amerika ini dimalukan kerana Mat Najib dapat masuk ke Rumah Puteh.
Pertemuan Mat Najib dengan Mat Trump cukup hebat. Mat Najib berjanji dengan Mat Trump yang Malaysia akan membantu ekonomi Amerika. Apakah ini bermakna syarikat 1MDB akan mendirikan tembok sempadan antara Amerika/Mexico. Pekara ini masih belum jelas.
Apa yang jelas ialah akhbar WSJ dan NYT terkapai-kapai tidak dapat menemui bual Najib. Akhbar WSJ dan NYT hanya melihat dari jauh kejayaan Mat Najib masuk ke Rumah Puteh tanpa menanggalkan kasut. Amin.
Pada malam Khamis 29 March 2018 di Guar Chempedak Kedah - Pengerusi Pakatan Harapan Mahathir Muhamad secara terang telah sekali lagi membuat kenyataan terbuka menuduh Najib seorang pencuri.
Di hadapan hampir tujuh ribu warga Kedah, Mahathir yang juga orang Kedah telah menuduh Najib tidak layak memimpin Malaysia kerana dia pencuri. Dengan lorat Kedah dan nada sinikal Mahathir memburukan imej Najib seoalah-olah Najib ini bangkai yang tak berguna.
Warga Guar Chempedak terbarai ketawa.
Tuduhan Mahathir keatas Najib ini lebih terang dan lebih jelas dari laporan NYT atau WSJ. Dua media ini agak berlapik berbanding dengan serangan peluru berpandu Mahathir terbaru ini.
Pencuri. Pencuri. Pencuri. Najib seorang pencuri. Penyangak. Mahathir sekali lagi memberi tahu pendengar ceramah bahawa Najib ini Lanun Bugis. Mahathir membocorkan berita bagaimana warga Bugis di Tanjung Piai Johor sama bersetuju yang Najib ini saorang pencuri. Malah warga Bugis di Tanjung Piai telah memberi sambutan hangat ketika Mahathir melawat Johor. Babak ini menjadikan Mahathir tanpa segan silu menggunakan istilah Lanun Bugis.
Ini bukan kerana semua Bugis pencuri. Hanya Najib seorang pencuri - mengikut kata Mahathir.
Sabenarnya bunyi isi ucapan Mahathir ini bukan satu pekara yang baru. Semenjak berita Najib mencuri duit 1MDB dibocorkan oleh NYT dan WSJ - Mahathir telah ke hulu ke hilir berceramah menerangkan kepada orang ramai tentang malapetaka yang dibawa oleh Najib.
Di Utan Aji di Perlis pada pada Jumaat 30 March di Utan Aji Perlis , dihadapan 4 ribu warga Perlis , Mahathir telah mengulangi tuduhan yang sama terhadap Najib.
Dalam ceramah di Utan Aji kali ini Mahathir telah berkata yang dia telah mengumpul 60 jenayah kesalahan Najib. Apa yang kita diberitahu secara terbuka hanya satu jenayah :- Najib mencuri duit 1MDB.
Yang 59 lagi jenayah apa?
Saya sendiri tidak tahu. Malah saya sama saperti pendengar ceramah di Guar Chempedak dan Utan Aji amat kepingin hendak mengetahui fakta 59 jenayah kesalahan Najib mengikut Mahathir Muhamad.
Pada ketika ini Najib bukan sahaja tidak jadi menyaman WSJ - malah Najib langsung tidak berani membuka mulut menafikan segala tuduhan Mahathir.
Paling menarik dalam ceramah-ceramah Mahathir nama rakan niaga Najib Encik Jho Low terus disebut. Dalam ceramah Guar Chempedak Mahathir telah membuat lawak bagaimana di Persidangan ASEAN di Sydney Australia , Mat Najib telah bergambar dengan Presiden Jokowi. Mengikut Mahathir Jokowi tersenyum lebar kerana Indonesia telah berjaya menahan kapal milik Jho Low - tim pencuri Ali Baba. Mahathir mempersoalkan - kenapa pencuri yang bernama Jho Low ini tidak ditangkap?
Dalam hal Jho Low ini saya rasa Mahathir kurang arif. Kumpulan Anak Muda Cari Jho Low (AMCJL) sedang menyusun demo besar - turun ke jalan pada Sabtu 14 April 2018i di Sogo Kuala Lumpur. Tujuan ialah untuk mendesak Ketua Polis Negara (KPN) bekerjasama dengan Interpol untuk menangkap Jho Low.
Kapal telah berjaya ditahan di Bali Indonesia. Pencuri rakan Najib ini dilaporkan oleh harian The Australian kini berada di Shanghai China Merah. Kenapa KPN tidak mengambil tindakan? Apa hubungan Jho Low dengan China Merah? Tunngu minggu hadapan.(tt)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45
---------------------
Tiada ulasan:
Catat Ulasan