Selasa, 9 Februari 2021

GARIS BARU POLITIK NEGARA

 

GARIS BARU

POLITIK NEGARA

KITA SESAMA KITA

LIHAT DAN

KITA TUNGGU


Putrajaya umum 19 anggota Jawatankuasa Khas Bebas Darurat

BEKAS ketua hakim negara Arifin Zakaria dilantik mengetuai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dengan 19 anggota menurut satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.

Jawatankuasa berkenaan akan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelaksanaan perintah darurat yang akan berakhir pada 1 Ogos, dan sama ada ia akan ditamatkan lebih awal.

Kenyataan itu turut menyenaraikan bekas ketua setiasaha negara Samsudin Osman, bekas ketua polis negara Norian Mai dan bekas panglima angkatan tentera Zulkifli Zainal Abidin.

Empat pakar kesihatan juga dilantik ke jawatankuasa itu termasuk bekas ketua pengarah kesihatan Dr Mohamad Taha Arif dan pakar bedah jantung Dr Yahya Awang.

Dua lagi ialah pakar kesihatan awam Dr Andrew Kiyu Dawi anak Usop dan bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor.

Selain Dzulkefly, dua lagi ahli Parlimen pembangkang yang dilantik ialah Saifuddin Nasution Ismail dan Anthony Loke, masing-masing merupakan bekas menteri kerajaan Pakatan Harapan.

Senarai itu juga menyebut nama bekas timbalan pendakwa raya Sallehuddin Saidin dan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin.

Dua lagi ialah Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia Ter Leong Yap dan Pro-Canselor Universiti Cyberjaya R. Palan.

Pihak kerajaan pula diwakili empat wakil rakyat – Noh Omar, Rohani Abdul Karim, Azizah Mohd Dun dan Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, pelantikan berkenaan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Keselamatan Negara akan bertindak sebagai urusetia.

Pembangkang pada awalnya menolak untuk menganggotai jawatankuasa tersebut kerana menganggapnya satu bentuk perakuan kepada keabsahan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

Pembangkang berpendirian Muhyiddin tidak lagi menguasai majoriti selepas beberapa ahli Parlimen Umno mengmumkan tidak lagi menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Blok kerajaan yang sebelum ini mempunyai 112 kerusi kini berkurangan apabila Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Nazri Aziz (Padang Rengas) mengumumkan menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Pembangkang pula mempunyai 108 kerusi di Dewan Rakyat.

Dua kerusi kosong selepas penyandangnya, masing-masing seorang dari blok kerajaan dan pembangkang, meninggal dunia.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada bulan lalu menyeru ahli Parlimen mengutuskan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan perisytiharan darurat.

Seruan Anwar melalui memorandum yang dihantar kepada semua ahli Parlimen itu juga menggesa wakil rakyat tersebut merayu agar Dewan Rakyat dapat bersidang sebelum akhir bulan ini,

Katanya, sidang tersebut perlu diadakan untuk membahaskan isu darurat, pandemik Covid-19 dan kemelut ekonomi yang melanda.

Seluruh persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kini digantung dengan proklamasi darurat yang berkuatkuasa bermula 11 Januari hingga 1 Ogos.

Ia bermaksud semua ahli Parlimen tidak berpeluang untuk melancarkan undi tidak percaya ke atas Muhyiddin di Dewan Rakyat.

Segala pilihan raya juga ditunda dengan perintah tersebut dan membolehkan Muhyiddin terus memimpin kerajaan walaupun tidak menguasai sokongan majoriti.

Muhyiddin pada Khamis lalu memberi jaminan akan membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan pandemik Covid-19 reda bagi membolehkan pilihan raya umum ke-15 diadakan. – 9 Februari, 2021.


SEMUA

UNTUK  TUJUAN

MEMBAIKI ARAH

NEGARA DAN

KITA BERSATU

MELAWAN KOBID

AMIN


Tiada ulasan: