Rosmah perlu hadir prosiding Isnin ini atau dikenakan waran tangkap
PUTRAJAYA – Isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor diberikan kata putus untuk hadir ke prosiding rayuan beliau Isnin ini atau berdepan dengan tindakan waran tangkap.
Mahkamah Rayuan di sini membuat ketetapan sedemikian oleh tiga panel hakim yang diketuai Hanipah Farikullah dan bersidang bersama M. Gunalan dan Hashim Hamzah.
Ketiga-tiga panel hakim sebulat suara mempertimbangkan cadangan supaya perayu dikenakan waran tangkap jika gagal hadir lagi ke perbicaraan rayuan Isnin ini, sepatutnya Rosmah hadir prosiding pagi ini.
Bagaimanapun kata pembelaan berhujah mendakwa anak guamnya terlepas pandang dan sebelum ini tidak pernah gagal hadir perbicaraannya.
“Kita akan gunakan budi bicara supaya waran tangkap ke atas perayu ditahan dan memberikan peluang kepadanya untuk hadir ke prosiding akan datang,” kata Hanipah hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Gopal Sri Ram memohon kepada mahkamah supaya Rosmah dikenakan waran tangkap kerana kegagalannya hadir perbicaraan rayuan pagi ini.
Sri juga memohon wang jaminan RM1 juta juga dibatalkan.
Sepatutnya hari ini, Rosmah perlu menyambung hujah rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid dan menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu.
Namun peguam bela Rosmah, Jagjit bangkit mendakwa anak guamnya masih lagi berada di Singapura menemani anak perempuanya, Nooryana Najwa Najib yang baharu sahaja bersalin anak kedua.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan Rosmah untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkan beliau melawat Nooryana.
Rosmah perlu pulang ke Malaysia sebelum atau pada 21 November lalu dan pasport perlu diserahkan semula ke mahkamah pada 6 Disember.
Sebelum ini, Rosmah telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak untuk membatalkan perbicaraan rasuah itu selain menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai Ketua Pendakwaan.
Rosmah sedang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Rizal Mansor.
1 ulasan:
Udah lama tau dah. Lakibini Dapat je keluar mesti dia hilang punya. Jolow dah lama setting. Kasi bawak lari. Duduk bungalow khas enjoi menjoi dijaga china.kahkahkah
Catat Ulasan