Rosmah masih di Singapura, terlepas prosiding namun tidak kena waran tangkap
ROSMAH Mansor belum kembali dari Singapura, terlepas tarikh yang ditetapkan di Mahkamah Rayuan hari ini untuk prosiding bagi melucutkan kelayakan ketua pendakwa raya dalam perbicaraan rasuahnya yang sedang berjalan serta membatalkan perbicaraan.
Bagaimanapun, beliau terlepas daripada dikenakankan waran tangkap selepas peguamnya Jagjit Singh memaklumkan mahkamah bahawa ia adalah “kelalaian”, dan akan bertanggungjawab sepenuhnya atas ketidakhadirannya.
Jagjit berkata isteri bekas perdana menteri Najib Razak, belum pulang dari Singapura untuk melawat anak perempuannya Nooryana Najwa, yang baru melahirkan anak keduanya.
Jagjit memberitahu mahkamah rayuan bahawa Rosmah tidak pernah terlepas tarikh perbicaraan di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah rayuan mempunyai tiga panel hakim hari ini dipengerusikan oleh hakim Hanipah Farikullah, M Gunalan dan Hashim Hamzah.
Hanipah berkata pihak mahkamah menerima penjelasan Jagjit dan membuat keputusan sebulat suara untuk menahan waran tangkap.
“Mahkamah menggunakan budi bicara untuk menahan waran tangkap. Lagipun beliau (Rosmah) tidak pernah tidak hadir dalam prosiding Mahkamah Tinggi,” kata Hanipah.
Hanipah turut mengarahkan Rosmah untuk kembali pada Isnin (6 Disember) jam 9 pagi, selepas prosiding hari ini ditangguhkan.
Terdahulu, ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram meminta hakim mahkamah rayuan mengeluarkan waran tangkap terhadap Rosmah dan membatalkan jaminannya.
Rosmah mahu melucutkan kelayakan Sri Ram yang mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuahnya melibatkan projek tenaga hibrid solar untuk sekolah luar bandar.
Pada 15 Oktober, hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan Rosmah mendapatkan pasportnya untuk ke Singapura bagi melawat anak perempuannya yang sedang mengandung dan mengarahkannya pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November.
Beliau sepatutnya memulangkan pasportnya kepada pihak berkuasa sebelum 6 Disember. – 2 Disember, 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan