Ahad, 19 Jun 2022

KETUM BAIK UNTUK MANUSIA


Ketum ayam mampu turun harga makanan ternakan, kata pengkaji

KETUM ayam, ubi kayu dan jagung bijirin antara tanaman yang perlu dibangunkan bagi menjamin bekalan bahan mentah untuk makanan ternakan, kata pengkajinya.

Supardi Bai yang juga penternak dan peladang memberitahu The Malaysian Insight, tiga bahan mentah itu mampu mengurangkan import dan menurunkan harga makanan ternakan.

“Bagi jaminan kestabilan makanan, untuk ayam kita tiada pilihan lain, kita kena kurangkan import (makanan ternakan). Selagi kita import masalah ini tidak akan selesai.

“Bukan kita tak boleh (hasilkan). Di sini saya dah tanam jagung, ubi dan ketum ayam… Tiga bahan utama ini kita boleh penuhi hingga 85% kepada keperluan makanan (ternakan),” katanya.

Beliau ditemui di ladang ketum ayam miliknya seluas lebih dua ekar di Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Supardi merupakan petani yang mempelopori tanaman ketum ayam atau nama saintifiknya Trichantera gigantea di negara ini sejak 10 tahun lalu.

Katanya, kajian secara kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dijalankan untuk mencari formula makanan ternakan menggunakan tiga bahan tersebut sebagai asas utama.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dari Universiti Okayama, Jepun itu berkata, kajian berkenaan sudah 90% selesai dan hanya memerlukan sedikit penambahbaikan.

“Kita dah hampir berjaya dapatkan formula tapi benda baru ini bukan senang. Kita dah hampir capai 100% (selesai kajian) untuk makanan ayam dengan menggunakan tiga bahan ini sebagai bahan utama.

“Baki 15% lagi kita boleh import atau (dihasilkan dalam pasaran) tempatan, yang pentingnya 85% kita dah boleh (hasilkan makanan ternakan),” katanya yang mesra dengan gelaran Pak Tam.

Ketum ayam kaya protein

Katanya, ketum ayam yang juga dikenali dengan nama Madre de agua diketahui mengandungi sehingga 23.3% protein dan mampu menggantikan import soya dan hampas soya sebagai sumber protein dedak ternakan.

“Kandungan protein yang tinggi dan pokok ini kita senang tanam, sangat sesuai dengan cuaca di Malaysia,” katanya.

Kajian tersebut membolehkannya merangkul tempat ketiga anugerah inovasi 2019 bagi kategori pengeluaran ternakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Kajian itu menggunakan campuran ketum ayam dan jagung bijirin ke atas 200 ekor ternakan ayam pedaging yang memasuki usia dua minggu di atas tanahnya.

Sasaran beliau adalah mengurangkan kebergantungan dedak sehingga 80% bagi mengurangkan kos ternakan kerana ayam pedaging adalah sumber protein utama rakyat negara ini.

“Kita sasarkan 20% penggunaan dedak. Kita belum lagi tengok pengakhirannya setakat ini kita sudah mencapai 50% (penggunaan dedak) dan kita akan tingkatkan penggunaan ketum ayam.

“Kita sedang mengawasi dan diharapkan dapat keputusan yang menarik. Selain dedak, kita beri jagung, ketum ayam dan garam sebagai makanan utama.

“Kalau konsep ini berjaya ramai orang boleh gunakan konsep ini,” katanya.

Pak Tam berkata, setiap ekar tanah mampu memuatkan sekitar 2,700 pokok ketum ayam dan boleh mengeluarkan kira-kira 30 tan daun setahun.

“Berbanding dengan import kacang soya atau hampas kacang soya, bila kita tanam sendiri kos jauh lebih rendah.

“Kalau dapat kurangkan kos secara automatik margin kita akan naik dan lebih menarik,” katanya.

Malaysia mengimport kira-kira RM6.2 bilion bahan makanan ternakan pada 2020, yang merupakan antara import terbesar negara.

Kos import makanan negara mencecah RM63.3 bilion pada 2021, berbanding RM55.4 bilion pada tahun 2020 dan jumlahnya semakin meningkat saban tahun.

Malaysia mengimport sepenuhnya komponen utama makanan binatang ternakan, seperti jagung bijirin dan soya dari Argentina dan Brazil.

Peningkatan harga bahan mentah itu di peringkat global dikesan menjadi antara punca kenaikan harga ayam di dalam pasaran tempatan.

Pengalaman Pak Tam menternak ayam kampung kacukan dengan menggunakan ketum ayam sebagai bahan makanan utama berjaya mengurangkan penggunaan dedak mencecah sehingga 30%.

Katanya, pembeli juga sangat berpuas hati dengan ketum ayam yang mereka perolehi dan akan sentiasa mendapatkan bekalan.

“Ayam kampung tiada masalah. (Berdasarkan) maklum balas pengguna, siapa dah (beri) makan ketum ayam memang mencari lagi.

“Kadar makanan itu 70% ketum ayam, 30% dedak. Formula ini mudah, kalau kita buat kecil-kecilan boleh,” katanya yang mampu menjimatkan 20% dedak. – 18 Jun, 2022.


 LIHAT KAJIAN

MEMBUKTIKAN

BUKAN HANYA

UMAT MANUSIA

PERLU KETUM

AYAM PUN DIBANTU

OLEH KETUM

KHALAS

AMIN

REST MI KES

MI LORD

KHALAS

Tiada ulasan: