Isu alam sekitar jadi topik kempen PRU15, kata pakar politik
ISU alam sekitar masih akan digunakan sebagai topik semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi ia tidak akan memberi kesan berpanjangan kepada pengundi, kata pakar politik.
Mereka berkata Selangor yang dilanda beberapa isu alam sekitar seperti penebangan hutan, pencemaran air dan banjir tidak akan mendapat kritikan daripada orang ramai kerana negeri itu berjaya menangani isu tersebut.
Pakar bagaimanapun berkata negeri di bawah pentadbiran PAS khususnya Kelantan dan Kedah mungkin mendapat kritikan daripada pengundi kerana isu iklim seperti banjir, air dan pembalakan tidak ditangani parti Islam itu selama bertahun-tahun.
Rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada 19 November dalam PRU15 negara ini, hari penamaan calon ditetapkan pada 5 November manakala pengundian awal pada 15 November.
Pilihan raya umum itu melibatkan 222 kerusi parlimen, 59 kerusi DUN Perak, Pahang (42) dan Perlis (15).
Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu memutuskan untuk tidak membubarkan DUNnya kali ini manakala Johor dan Melaka mengadakan pilihan raya negeri tahun lepas.
Felo kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Dr Azmi Hassan berkata isu alam sekitar perlu dibincangkan secara menyeluruh oleh parti politik.
Menurutnya isu itu tidak mendapat cukup tarikan daripada pengundi.
Beliau berkata walaupun isu itu akan digunakan di negeri-negeri tertentu, tidak akan ada rancangan jangka panjang dalam parti yang menang untuk menangani masalah itu.
“Isu air di Kelantan misalnya akan digunakan Umno untuk menyerang pentadbiran negeri tetapi tidak akan ada rancangan jangka panjang untuk menanganinya.
“Di Selangor juga ada isu dengan alam sekitar tetapi pengundi tidak berminat dengan perkara itu.
“Isu iklim sepatutnya dibangkitkan dalam tempoh berkempen tetapi masalah rakyat kita ialah perkara itu kita ambil perhatian hanya apabila ia berlaku, selepas itu kita lupakan perkara itu,” katanya.
Bagi Dr Mazlan Ali isu alam sekitar akan dimanipulasi oleh parti semasa tempoh berkempen dan akan menjejaskan negeri yang terlibat sebaik pilihan raya negeri diadakan.
Ahli akademik itu percaya isu iklim akan menjadi salah satu topik hangat semasa pilihan raya.
“Parti lawan akan memanipulasi isu ini untuk menarik perhatian pengundi dan sebagai alat untuk menyerang parti lain. Ia akan digunakan secara meluas di Selangor, Kelantan, Kedah dan mungkin Pulau Pinang.
“Adakah ia akan menjejaskan pilihan raya negeri? Kita perlu melihat keputusan pilihan raya umum.
“Jika PAS mengekalkan Kedah dan Kelantan kemungkinan besar parti Islam itu tidak akan menghadapi masalah apabila ada pilihan raya negeri.
“PAS akan menerima tentangan hebat daripada pengundi Kelantan kerana mereka tidak dapat menangani isu itu dengan baik dan perkara ini sudah berlarutan selama bertahun-tahun.”
“Berbeza dengan Selangor beberapa projek itu bertujuan untuk pembangunan seperti lebuh raya malah mengenai air masalah itu ditangani dengan baik. Dalam sehari dua ia selesai dan cara kerajaan negeri mengendalikannya adalah sistematik,” kata Mazlan.
Aktivis Amlir Ayat pula menegaskan isu iklim bukan sahaja diperkatakan semasa tempoh berkempen malah perlu ditangani sebaik sahaja pilihan raya berakhir.
Beliau berkata sudah tiba masanya parti politik melihat isu alam sekitar sebagai masalah sosial kerana ia kini menjejaskan kehidupan seharian rakyat.
“Isu ini mesti diketengahkan dan mereka perlu mengambil pendirian dalam perkara ini. Ia tidak boleh dilihat sebagai isu alam sekitar semata-mata lagi. Kehidupan rakyat terjejas dan eksploitasi berleluasa,” katanya.
Amlir yang mengetuai Ecoknights - sebuah kumpulan alam sekitar berkata rakyat tidak berminat dengan isu iklim kerana ahli politik tidak serius dalam menangani perkara itu.
“Syarikat dan industri besar terlepas begitu sahaja, parti politik akan berkata satu atau dua perkara tetapi tidak ada kemahuan politik untuk menangani perubahan iklim
“Saya percaya jika ahli politik serius pengundi boleh membuat pendirian yang jelas sama ada pada pilihan raya umum atau negeri,” katanya. – 26 Oktober, 2022.
2 ulasan:
Alam sudah penat, melayan karenah manusia durjana, sampai tindak balas akan sampai, segala musibah akan sampai kerana perbuatan sendiri, jangan salah kiri kanan, kalau tidak berbuat sesuatu sudah lewat amin kah kah kah
Isham, politikus dah mula sibuk bangkit isu rasuah, alam sekitar, komunis, zionis, kote, banjir; kenapa belum bangkit isu rakyat seperti harga makanan dan barang keperluan, pekerjaan, perumahan pelajaran anak, bina kilang, dll.
Dia orang tak faham ke, rakyat tak ada duit beli makanan, baju, tak ada kerja tetap ...
Catat Ulasan