'No Anwar, No DAP' hanya untuk hadapi PRU15, kata Zahid
KERJASAMA Umno dengan PKR dan DAP, dalam kerajaan gabungan yang dibentuk selepas pilihan raya umum lepas, tidak akan mengabaikan prinsip parti sebagai wadah perjuangan Melayu dan Islam, kata Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno berkata pendirian parti tidak bekerjasama dengan PKR dan DAP, serta Bersatu, hanyalah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) dan bukannya selepas pilihan raya.
“Selepas pilihan raya umum, marilah kita merapatkan barisan. Umpama ‘lidi seikat’ ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada Umno dan pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan dalam,” katanya dalam satu kenyataan.
Zahid juga berkata kerjasama parti-parti politik yang berlaku sekarang atas atas titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan sebuah kerajaan perpaduan dibentuk.
Lebih setahun sebelum PRU15, Umno membuat ketetapan di perhimpunan agung tahunannya pada Mac 2021 menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu.
Keputusan itu lebih popular disebut sebagai “No Anwar, No DAP, No Bersatu”, yang terus diulang-ulang sebelum PRU15.
Selepas PRU15, setelah tiada mana-mana gabungan menang cukup kerusi untuk membentuk kerajaan sendiri, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno memberi dukungan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk dilantik perdana menteri.
Menurut Zahid, kerjasama politik itu tidak akan menghilangkan identiti Umno sebagai wadah perjuangan Melayu dan Islam.
Malah beliau menyifatkannya sebagai kesediaan Umno berubah mengikut masa dan keadaan.
“Sesuai dengan perkembangan ia perlu cakna dengan perubahan semasa, dinamik dan dilihat inklusif.
“Umno tetap mempertahankan dasar parti untuk mengamalkan sikap sederhana dan progresif dalam menangani perubahan,” katanya.
Umno juga, katanya, menolak parti yang menggunakan agama untuk berpolitik, kenyataan yang dipercayai merujuk pada PAS.
Mengenai kerjasama BN dan PH di Perak dan Pahang, Zahid berkata kerjasama itu untuk memastikan kestabilan dalam kerajaan negeri yang dibentuk selepas pilihan raya.
BN dengan 9 kerusi di Dewan Undangan Perak membentuk kerajaan bersama PH yang menang 24 kerusi. Perikatan Nasional (PN) menang paling banyak 26 kerusi tetapi tidak cukup majoriti mudah daripada keseluruhan 59 kerusi.
Di Pahang juga, tiada mana-mana gabungan berjaya mendapat sekurang-kurangnya 22 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.
Kedua-dua menteri besar daripada BN sebelum PRU15 dikekalkan menerajui Perak dan Pahang. – 29 November, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan