Sabtu, 3 Disember 2022

KOMENTAR MALAYSIAN INSIGHT


Teka-teki di sebalik pelantikan jemaah menteri Anwar

KESUKARAN Anwar Ibrahim memilih anggota Kabinet pertama beliau sama payah dengan laluan penuh liku ditempuhnya untuk menjadi perdana menteri Malaysia.

Kedua-duanya menjadi tanda kebolehannya dan kecekalan beliau untuk mencapai matlamat.

Kita tidak hairan apabila presiden Umno yang juga pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pembangunan luar bandar.

Anwar tidak akan menjadi perdana menteri tanpa Zahid.

Dengan melantik Zahid menjadi menteri luar bandar, ada peluang untuk merampas kembali undi luar bandar dari gelombang hijau yang membadai Umno dalam pilihan raya umum (PRU) 19 November.

Begitu juga dengan pelantikan Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai menteri pertanian. Kedua-dua portfolio ini penting bagi PH dan BN menarik undi luar bandar dalam pilihan raya negeri dan juga PRU akan datang.

Itulah yang akan berlaku sekiranya pentadbiran Anwar dapat bertahan sehingga akhir penggal lima tahun dengan gabungan yang diperkenan istana apabila Parlimen tergantung selepas PRU15.

Namun Zahid menarik kritikan kerana berdepan 47 tuduhan di mahkamah. Dua lagi yang berdepan pendakwaan – Lim Guan Eng dari DAP dan Syed Saddiq Abdul Rahman dari Muda tidak tersenarai, yang boleh mententeramkan kritikan.

Siapa tahu BN akan terkubur memandangkan Umno kini menyertai PH manakala MCA dan MIC yang diwakili tiga ahli Parlimen tidak berjaya menyertai Kabinet Anwar.

Mana-mana ahli Parlimen tersebut, ataupun dari DAP boleh memenuhi jawatan tanpa perlu melantik senator.

Kita dapat faham alasan Anwar melantik Saifuddin Nasution Ismail sebagai senator. Beliau tewas kerusi Kulim Bandar Baharu, tetapi beliau dipercayai sebagai orang kanan Anwar untuk portfolio Kementerian Dalam Negeri.

Munasabah bagi PKR mengetuai kementerian strategik yang bertanggungjawab ke atas keselamatan dalam negeri, imigresen dan penjara.

Tapi apa pentingnya Tengku Zafrul Abdul Aziz? Beliau kalah pilihan raya, dan menjadi menteri kanan dalam dua pentadbiran terdahulu, yang didakwa membelanjakan berbilion ringgit atas nama darurat.

Adakah prestasinya baik dalam kedua-dua kerajaan yang mengecewakan sebelum PRU15? Dengan jawatan kanannya sewaktu menguruskan ekonomi negara waktu itu, adakah pelantikannya kali ini bermakna dana yang dibelanjakan secara darurat itu tidak akan diperiksa?

Adakah Anwar dapat memberi alasan melantik calon yang tewas ke Kabinet sedangkan pemenang kerusi Kuala Selangor yang memberi kekuatan 82 kerusi tidak mendapat apa-apa?

Dr Dzulkefly Ahmad seorang ahli Parlimen bernas yang memastikan PH mendapat kekuatan, tetapi beliau tidak mendapat apa-apa sedangkan orang yang ditewaskannya menjadi senator dan menteri sekali lagi?

Mungkin lebih baik Tengku Zafrul kembali ke sektor korporat, tempat kecemerlangannya dalam perbankan.

Tentulah BN perlu diberi ruang tetapi masih ada calon lain dari trio MCA-MIC. Apa kata Johari Ghani, bekas menteri kewangan kedua? Tidakkah beliau pilihan lebih baik sebagai menteri perdagangan?

Setidak-tidaknya sebagai menteri pelancongan bagi menggantikan Tiong King Sing dari GPS, yang menjadi duta khas dalam dua pentadbiran terdahulu.

Pencapaiannya yang paling besar, menarik sokongan ke atas pentadbiran Muhyiddin Yassin yang menyebabkan kerajaan itu tumbang pada 2021.

Satu lagi pencapaiannya, membawa sekumpulan wakil rakyat BN ke Taiwan pada September 2008 untuk menghalang Anwar mengambil alih pentadbiran waktu itu.

Malaysia perlukan Kabinet yang kecil tetapi bekerja keras seperti dijanjikan Anwar. Namun beliau perlu menjelaskan pilihannya dan menetapkan bidang kuasa dan sasarannya.

Jika tidak kerajaan pimpinannya mungkin menuju ke arah yang sama dengan pentadbiran terdahulu, dan hanya bertahan beberapa tahun.

Rakyat Malaysia menaruh harapan besar ke atas 148 ahli Parlimen yang membentuk kerajaan Anwar. Janganlah hancurkan harapan mereka. – 3 Disember, 2022.

* Jahabar Sadiq
 pengendali The Malaysian Insight.



Tiada ulasan: