PRN jadi ujian hubungan Umno-DAP, kata Kor Ming
UJIAN besar pertama bagi hubungan kerja antara dua bekas musuh politik, Umno dan DAP, adalah pada pilihan raya akan datang di enam negeri, kata Naib Presiden DAP Nga Kor Ming.
Umno dan Barisan Nasional (BN) yang diketuainya, memilih untuk menyokong Anwar Ibrahim dan gabungan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perpaduan. DAP adalah parti utama PH.
Ramai yang kini melihat kedua-dua pakatan bekerjasama dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang untuk menentang Perikatan Nasional (PN), yang menjadi pakatan pembangkang utama.
Nga berkata jika PH, dengan sokongan BN, mencapai “keputusan cemerlang” dalam PRN di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu – dijangka pada pertengahan tahun ini – maka ujian itu boleh dianggap sebagai kejayaan yang memberangsangkan.
Keenam-enam negeri itu tidak membubarkan DUN mereka bagi membolehkan pilihan raya serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), seperti biasanya yang berlaku selama ini.
“Ia pasti akan menjadikan hubungan kerja dalam kerajaan perpaduan lebih lancar dan negara lebih stabil dari segi politik,” kata Nga yang juga adalah menteri pembangunan kerajaan tempatan.
Beliau berkata hubungan DAP dan Umno mesti dipupuk, ibarat pokok buah yang perlu dibaja dan disiram jika mahu ia berbunga dan berbuah.
Beliau mengakui selepas berdekad dimomokkan, penyokong akar umbi Umno akan mendapati keadaan itu janggal dan sukar untuk diterima.
“Perkara yang sama boleh dikatakan bagi penyokong akar umbi DAP. Ini adalah fitrah manusia.”
Beliau berkata DAP juga berharap Umno, sebagai kuasa utama yang mewakili politik sayap kanan Melayu, akan condong ke arah neutral.
Terdapat petanda ke arah itu katanyanya.
Beliau berkata pada perhimpunan agung Umno baru-baru ini, retorik yang sering kedengaran menghina orang Cina dan menggesa mereka pulang ke China, tidak kedengaran.
Nga berkata kerjasama itu nampaknya menuju ke arah yang betul kerana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi lebih daripada sekali mempertahankan DAP secara terbuka sejak penubuhan kerajaan perpaduan.
Zahid tambahnya, menjelaskan yang ahli Umno salah faham DAP kerana bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menjadikannya begitu.
Nga juga berkata jika hubungan itu berterusan, maka sikap baling batu antara satu sama lain dan bergaduh tidak akan berlaku lagi.
Kestabilan politik
Nga menambah persefahaman yang kukuh antara DAP dan Umno, sama seperti PH dan BN, adalah penting untuk memastikan kestabilan politik.
Beliau berkata kestabilan politik sebegitu adalah prasyarat untuk memulihkan ekonomi.
“Apabila kestabilan politik hilang, tiada pelaburan asing akan mengalir ke Malaysia.”
Nga berkata keyakinan pelabur asing adalah kunci untuk meningkatkan ekonomi yang lembap.
Beliau berkata selepas kerajaan perpaduan baharu ditubuhkan, Bursa Saham Kuala Lumpur mengalami lonjakan besar apabila keyakinan terhadap negara kembali pulih.
Katanya, ia lonjakan yang tidak dilihat dalam tempoh lima tahun lepas, ketika dagangan mencatatkan RM4.6 bilion.
Nga berkata kedudukan Anwar di peringkat antarabangsa tiada yang menyamainya di negara ini dan ia akan membantu membawa masuk semula pelaburan asing.
“Setakat ini, perdana menteri menerima jemputan daripada pemimpin lebih 60 negara untuk melawat negara mereka,” katanya.
“Malah Sultan Brunei adalah yang pertama melawat Malaysia selepas Anwar dilantik sebagai perdana menteri memberi menghantar mesej penting yang Brunei akan meningkatkan pelaburannya di Malaysia.”
Nga berkata Pihak Berkuasa Pelaburan Qatar, yang menguruskan dana kekayaan berbilion negara Timur Tengah, dilaporkan menghadkan pelaburan asingnya pada AS$1 bilion (RM4.26 bilion) tetapi disebabkan hubungan Anwar dan status antarabangsanya, kerajaan Qatar memutuskan tiada had sedemikian dalam pelaburan dana berdaulatnya di Malaysia.
Beliau berkata dana kekayaan negara Qatar, yang mempunyai aset lebih AS$100 bilion, jika dilaburkan di Malaysia, boleh meletakkan negara dalam kedudukan yang baik untuk mengharungi kemelesetan global yang diramalkan kebanyakan ahli ekonomi akan berlaku tahun ini.
Malaysia, yang pernah menjadi kuasa ekonomi di Asia Tenggara di belakang Singapura, sejak itu mengalami kemerosotan, dengan Indonesia, Filipina, Vietnam dan Thailand mengatasi kita, kata Nga. – 27 Januari, 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan