Denti, Frankie sertai misi SAR gempa bumi di Turkiye
Dua ekor anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Denti dan Frankie, menjadi sandaran misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.
Selain Denti dan Frankie, penghantaran pasukan penyelamat kedua dari Malaysia turut disertai 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), 30 anggota JPBM dan 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM).
"Tujuan kita bawa anjing pengesan ini adalah untuk memaksimumkan tugasan apabila berada di sana nanti (kerana) peranan anjing pengesan ini sangat membantu dalam usaha mengesan lokasi di mana mangsa berada.
"K9 ini adalah antara pasukan atau unit yang termasuk dalam misi mencari dan menyelamat SMART, jadi mereka ini memang bersedia untuk diatur gerak ke mana-mana (lokasi di) luar negara," kata Ketua Komander Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Ismail Abd Ghani kepada media semasa pelepasan misi SAR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam tadi.
Beliau berkata kedua-dua anjing dipilih menyertai misi itu kerana memiliki kepakaran mencari mangsa hidup dan mayat.
Ditanya sama ada Denti dan Frankie mampu bertahan dalam penerbangan ke Istanbul yang dijangka mengambil masa 11 jam, Ismail berkata perkara itu tidak menjadi masalah.
"Anjing ini antara penilaian semasa perolehan dulu adalah ia boleh dibawa melalui penerbangan udara, jadi tidak ada masalah untuk penerbangan yang lama kerana kita dah uji sebelum ini," katanya.
Beliau berkata Denti dan Frankie sebelum ini pernah terlibat dalam operasi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember lepas.
Katanya Denti, anjing daripada baka Labrador, dan Frankie daripada baka English Springer Spaniel, masing-masing akan dikendalikan oleh pegawai bomba Tony Anak Albert Mani dan Y.Thibagaran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali pula berkata kedua-dua anjing itu akan dibawa bersama untuk memastikan pasukan penyelamat Malaysia dapat melaksanakan operasi SAR dengan lebih berkesan.
Beliau juga berkata pihaknya dimaklumkan ketika melaksanakan misi SAR, pasukan pertama SMART yang sudah tiba di Gaziantep berdepan beberapa cabaran yang agak besar iaitu cuaca ekstrem di lokasi bencana, koordinasi logistik dan pengangkutan serta faktor keselamatan geopolitik.
"Namun begitu, semangat seluruh anggota yang terlibat tetap tinggi dan cabaran yang dihadapi dapat ditangani dengan kerjasama Disaster and Emergency Management Presidency (AFAD) Turkiye.
2 ulasan:
Kenapa anjing selalu jelir lidah?
Titi, lu tak volunteer Ezi gi Turkiye ke?
Catat Ulasan