Musim tengkujuh jejas bekalan sayur, kata persatuan
BENCANA banjir yang melanda dua negeri pengeluar utama sayur – Johor dan Pahang – menjejaskan bekalan bahan mentah itu, sekali gus menyebabkan kenaikan harga antara 20%-30%, kata sebuah pertubuhan peladang.
Presiden Persekutuan Persatuan Pekebun Sayur Malaysia Lim Ser Kwee berkata kenaikan harga tidak dapat dielakkan susulan permintaan yang melebihi pengeluaran pada musim tengkujuh.
“Apabila pengeluaran sayur terjejas akibat banjir, harga pun akan meningkat. Contohnya harga timun dan terung, yang sentiasa mendapat permintaan tinggi, akan jadi lebih mahal.
“Tetapi harga akan turun semula apabila cuaca stabil semula,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Lim, timun dijual pada harga antara RM4-RM5 sekilogram.
“Sayur-sayuran mendapat permintaan yang tinggi sedangkan bekalan ketika ini merosot sebab banjir pada musim tengkujuh, jadi kami terpaksa naikkan harga.
“Pengguna pula salah faham dan mendakwa pekebun sengaja mahu kaut untung. Mereka tak tahu masalah sebenar yang kami hadapi,” jelas beliau.
Lim bagaimanapun memberi jaminan bekalan sayur semasa Tahun Baharu Cina akan pulih semula sekiranya cuaca bertambah baik.
Sementara itu, Timbalan presiden Persatuan Peladang Cina Cameron Highlands Cheng Nam Hong berkata harga daun salad dan bunga kekwa sering mendapat permintaan tinggi semasa perayaan Tahun Baharu Cina juga dijangka akan naik jika hujan lebat berterusan.
Hasil tuaian tomato juga dibimbangi akan terjejas, tambah beliau.
“Pokok tomato mengambil masa selama 20 hari untuk berbunga seterusnya berbuah.
“Tetapi musim hujan sejak dua minggu menyebabkan sayur tidak mendapat banyak cahaya matahari, jadi macam mana pokok hendak berbunga dan berbuah,” jelas Cheng.
Menurutnya, secara purata ladang sayur di Cameron Highlands menghasilkan 100kg tomato sehari, namun pengeluaran bahan mentah itu kini merosot kepada hanya 30kg sehari.
“Bagaimanapun cuaca semakin baik sejak minggu lepas dan pengeluaran mula pulih. Tetapi harga tomato masih tinggi antara RM4-RM5 sekilogram. Hujung Disember lagi teruk, cecah RM6 sekilogram,” kata Cheng. – 17 Januari, 2024.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan