Jumaat, 17 Mei 2024

PERANG DAN BOM NUKLEAR


PERANG  DAN BOM NUKLEAR


Saya tidak takut jika  Kuala Lumpur meledak kerana bom nuklear. Saya tidak gentar jika bom nuklear meledak di Bangsar, di Taman Seputih atau di Brickfeilds. Malah kalau flet saya di Le Chateau jadi sasaran  bom nuklear saya amat senang hati lagi bersyukur.

Jika bom nuklear meledak di Brickfeilds saya hangus terbakar menjadi debu dalam sekelip mata. Khalas. Tamat. Khatam kogia kata warga Pakistan.  Tidak ada dakwa dakwi.  Semua beres.

Pemimpin Soviet Union Nikita  Khrushev  (1894-1971) pernah berkata : ... after nuclear war the survivors will  envy the death .... sesudah perang nuklear yang selamat mencemburui yang dah mati....’ Ini dikutip dari buku Nuclear War a Scenario oleh Annie Jacobsen.
.
Sayangnya Kuala Lumpur bukan sasaran bom nuklear dari Amerika, China, Rusia, India, Israel, Korea Utara, Pakistan, UK atau Perancis.  Malaysia bukan musuh kepada sembilan buah negara yang memiliki senjata ini.

Kenapa saya tidak gentar dan risau jika bom nuklear meledak depan flet saya. Ada sebabnya. 

Pada tahun 1983 saya  berpeluang  menuntun filem The Day After. Ketika ini saya  siswa belajar di Universiti Katolik  Leuvan La Neuve Belgium. 

Filem TV ini keluaran ABC ini telah dituntun lebih dari 100 juta penuntun di Amerika sebelum masuk panggung di Belgium. Hampir setengah penduduk Amerika menuntun filem ini.

Kesahnya begini: Pada pertengahan 1980-an, Amerika  berada di ambang perang nuklear. Bayangan ini menyelubungi penduduk sebuah bandar kecil di Kansas sambil mereka meneruskan kehidupan seharian mereka. Dr Russell Oakes (Jason Robards) mengekalkan jadual sibuknya di hospital, Denise Dahlberg bersedia untuk perkahwinannya yang akan datang, dan Stephen Klein (Steve Guttenberg) mendalami pengajian siswazahnya. Apabila perkara yang tidak dapat difikirkan berlaku dan bom jatuh, penduduk bandar kecil ini terdorong ke dalam kengerian musim sejuk nuklear.

The Day After menyertakan penafian penamat  sejurus sebelum penghujung kredit, menyatakan bahawa filem itu adalah fiksyen. Bahawa perang nuklear  sebenar akan menjadi lebih buruk daripada peristiwa yang digambarkan di skrin. 

Selesai menuntun saya teringat akan ledakan gunung berapi Karakatoa yang berlaku pada tahun 1883. 

Dari apa yang saya baca ledakan gunung di sebelah Sumatera ini boleh didengar di Singapura, di Perth Australia dan sampai ke Mauritus  pulau di Lautan Hindi sebelah benua  Afrika. 

Debu Karakatoa menutup cahaya matahari selama 6 bulan. Aduh ! Bayangkan kita tanpa cahaya matahari selama 6 bulan. 

Ketika jerebu melanggar kita beberapa tahun dahulu saya merasa risau. Cahaya matahari ada tapi kelam. Saya merasa cemas. Bayangkan jika kita tanpa cahaya matahari selama beberapa minggu.

The Day After – sehari sesudah ledakan berlaku  kita – warga dunia – akan berhadapan dengan musim dingin nuklear. Bukan enam bulan bukan enam tahun mungkin lebih dari 8 tahun.

Pada tahun 1983 – ketika Perang Dingin antara Amerika dan Soviet Union sedang menghebat  dua saintis Profesor Brian Toon dan Carl Sagan telah mengutarakan teori Nuclear Winter – Musim Sejuk Nuklear.
Inilah yang digambarkan dalam filem The Day After.

Di saat bom nuklear meledak kemusnahan akan berlaku dalam kawasan pusat gempa seluas  9 batu persegi. Hancur lebur semuanya. Api akan  merebak dibantu oleh angin ribut ke jarak   100 ke 200 batu.

Maknanya jika bom meledak di Kuala Lumpur kebakaran akan sampai ke Ipoh dan Penang. Seremban dan Melaka hangus terbakar. Bangunan cair kerana hangat yang maha hangat.

Jika bom nuklear meledak di Washington DC atau di London atau di Paris atau Moscow - Eropah  dan Amerika terbakar.  Kota -kota di Eropah dan Amerika hancur lebur.

Dari segi teorinya kita di Malaysia yang jauh dari pusat gempa selamat.  Selamat dari mati. 

Kita yang selamat akan berhadapan dengan dunia yang baru. Matahari akan hilang. Debu racun radioaktif   dan toksik hasil  ledakan nuklear mungkin sampai kepada kita. Penyakit merebak. Semua jalinan sosial hancur. Manusia kembali menjadi binatang – nak selamatkan diri sendiri. Kerajaan tidak wujud. Sapa kuat dia dapat. 

Bila matahari tidak muncul tumbuhan mati. Binatang mati. Makanan pupus. Laut toksik. Ikan semua mati. 

Pada ketika itu ada  yang akan teringat pada tulisan Hishamuddin Rais ini. Tapi paling tepat ialah ingatan kita kepada kata-kata  Khrushev  - kita yang hidup  akan cemburu pada semua yang mati.

Saya menulis tulisan ini kerana saya risau dan resah. Saya tidak bertujuan untuk menjaja ketakutan. Saya bukan Ustad YouTube – menjual ketakutan.  Saya hanya ingin memberi pencerahan dan berkongsi maklumat dari apa yang saya baca.

Apa yang saya baca   menunjukkan bom nuklear akan meledak jika apa yang sedang berlaku sekarang tidak menemui noktah. Amin.

Geopolitik hari ini memberi saya kesedaran bahawa bom nuklear  akan digunakan. Ledakan nuklear ini berpunca dari dua perang yang sedang berjalan di hadapan mata kita semua – Perang Gaza dan Perang Ukraine.

Jumlah senjata nuklear aktif  tertinggi  sebanyak 70,300. Ini pada tahun  1986. Tahun  2024 terdapat kira-kira 3,880 kepala peledak nuklear aktif dan 12,119 jumlah kepala peledak nuklear di dunia. 

Rusia memiliki 5580 bom nuklear, Amerika 5044, UK 225, Perancis 290, China 500, India 170, Pakistan 170, Korea Utara 50 dan Israel 80.

Dunia kita berselirat dengan bom nuklear. Ini termasuk bom nuklear yang dibawa bergerak oleh kapal selam dari lautan ke lautan. Semua siap seaga untuk meledak.

Perang Ukraine yang sudah masuk ke tahun ke dua memperlihatkan satu keadaan baru. Keadaan baru inilah pada hemat saya yang akan menjemput ledakan bom nuklear.

Ukraine telah kalah dalam perang  ini. Ini hakikat walau pun para politikus di Amerika dan di Eropah masih menutup mata dan memekak telinga dari menerima hakikat ini.
 
Dari awal lagi memang diketahui umum bahawa adalah mustahil Ukraine akan mengalahkan Rusia. Bantuan dana dan senjata dari Amerika dan NATO hanya meramaikan kematian  warga Ukraine. Rusia tidak akan kalah. Amin.

Laporan risikan intel dengan jelas menggambarkan kekalahan bala tentera Ukraine. Malah berita terbaru melaporkan ada percubaan untuk membunuh Presiden Zelensky.  Ketua risikan Ukraine telah dua kali bertukar tangan. Para jeneral  resah gelisah kerana ramai soldadu mula menyerah diri pada Rusia untuk tidak mati.

Rekrut baru amat-amat susah untuk didapati. Lelaki muda dan tua kini melarikan diri.  Bantuan senjata dari Amerika, dari UK dan dari NATO tidak memberi apa-apa impak. Ini kerana senapang dan peluru melambak-lambak tapi tidak ada soldadu untuk menembak.

Justeru Macron dari Perancis bercadang untuk menghantar soldadu ke pentas perang. Jika ini berlaku maka Perang Ukraine telah menjadi NATO lawan Rusia.

Ini bukan bermakna hari ini tidak ada soldadu luar di Ukraine.  Soldadu Amerika, soldadu British ada di Ukraine. Mereka bukan di medan tempur. Mereka beroperasi memberi nasihat dan tunjuk ajar bagaimana senjata yang mereka bekalkan boleh digunakan.

Rusia tahu hal ini. Tapi Rusia tutup sebelah mata.

Semua ini berubah apabila Macron dari Paris mahu menghantar soldadu ke medan tempur.

Wajib di beri tahu Rusia telah tidak lagi berpaksikan  doktrin – tidak akan menggunakan bom nuklear jika tidak diserang senjata nuklear.

Tidak tanduk NATO dan Macron dan juga PM Sunak telah menjemput Putin untuk bersuara.  

Suara Putin inilah yang menjadikan saya resah. Apa yang diucapkan oleh Putin menjemput saya untuk menggarap tulisan ini.

Putin yang baru dinobatkan untuk kali ke 5 sebagai Presiden Rusia telah memberi amaran kepada Amerika, United Kingdom dan NATO. Ucapan semasa penabalan Putin cukup jelas. Rusia akan menggunakan segala kekuatan jika Rusia di serang.

Jika wujudiah Rusia terancam maka Putin tidak teragak-agak untuk membalas. Tidak disebutkan senjata apa yang akan digunakan untuk membalas ancaman ini.

Apa yang meresahkan diri saya satelah ucapan Putin ini adalah arahan Presiden agar semua sistem senjata nuklear – on alert – bersiap sedia.

‘... We will get you at Downing Street..... kami akan cari kamu di Jalan Downing... ‘ 

Ini amaran Putin kepada Sunak.
Bila ucapan ini di lapor media sosok pertama yang memasang telinga ialah Macron. Presiden Perancis ini berkata yang dia memikirkan sekali lagi tentang niat untuk menghantar soldadu ke Ukraine. Amin.

Ertinya projek soldadu Perancis datang berperang sama di Ukraine di tangguhkan.

Presiden Biden dan Perdana Menteri Sunak tidak bersuara. Apakah mereka pekak tidak mendengar amaran Putin atau tidak percaya dan  melihat ucapan Putin ini sebagai omong kosong.

Amat jelas kita sedang menghampiri Perang Nuklear. Jika Perang Ukraine dan Perang  Gaza  berlanjutan kita akan menuju ke arah Perang Nuklear.

Tahun 1983 filem The Day After terbit. Ketika ini Presiden Amerika Ronald Reagan amat pro senjata nuklear. Penasihat Presiden Reagan  memberi nasihat pada Presiden agar jangan menuntun filem ini. Presiden Reagan berdegil. Dia menuntun The Day After.

Filem ini memberi impak yang mendalam pada Presiden Reagan. Dia menalipon Gorbachev. Dua pemimpin dunia ini bertemu di Reykjavik.

Sidang Kemuncak Reykjavík ialah mesyuarat puncak antara Presiden A.S. Ronald Reagan dan Setiausaha Agung Parti Komunis Kesatuan Soviet Mikhail Gorbachev, yang diadakan di Reykjavík, Iceland, pada 11–12 Oktober 1986.

Reagan dan Gorbachev bersetuju untuk  mengukuhkan tradisi tidak menggunakan senjata nuklear. Sidang di Reykjavik membawa kepada penandatanganan perjanjian Amerika-Soviet mengenai pengharaman pasukan nuklear jarak pertengahan dan kepada draf perjanjian untuk mengurangkan strategik-daya nuklear jarak jauh.

Ketegangan Perang  Nuklear mengendur ketika itu. 

Tahun 2024 kita tidak ada pemimpin dunia seperti Ronald Reagan dan Mikhail Gorbachev yang sedar akan bahaya perang nuklear.

Justeru saya menjadi risau dan menggarap tulisan ini. 

Untuk pembaca sila tuntun filem The Day After dalam YouTube. Lihat  filem yang telah mempengaruhi Presiden Amerika untuk membuat  perjanjian damai.

Alangkah baik jika  Presiden Biden, Presiden Putin , Presiden Zelensky dan para Jeneral NATO menuntun  filem Sehari Selepas Bom Nuklear Meledak. Amin. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL BERITA
MALAYSIA KINI
https://www.malaysiakini.com/columns/705784
  




Tiada ulasan: