Ubah gaya hidup untuk kelestarian alam sekitar masa depan – Nik Nazmi
KUALA LUMPUR – Warga kota disarankan agar mengamalkan gaya hidup lestari untuk memastikan usaha kerajaan dalam melindungi alam sekitar terjamin demi masa depan negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Ahmad berkata, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan khazanah alam kekal lestari untuk generasi akan datang.
Katanya, pihaknya telah mengambil langkah ‘turun padang’ bersama jabatan dan agensi serta pemegang taruh utama melalui wadah Karnival Alam Kita di Parlimen Titiwangsa dengan matlamat memupuk nilai-nilai budaya hijau kepada masyarakat dan meningkatkan literasi kelestarian alam sekitar orang awam melalui Kempen Gaya Hidup Hijau yang telah dilancarkanawal tahun ini.
“Untuk makluman semua, objektif penganjuran Karnival Alam Kita bagi meningkatkan dan mempromosikan kesedaran orang awam tentang amalan kelestarian selain memperkukuh kolaborasi dengan para pemegang taruh kementerian.
“Selain daripada menjadi platform untuk kementerian mendidik orang awam, penganjuran karnival ini juga memberi ruang kepada NRES untuk mendapatkan input dan maklum balas di peringkat akar umbi untuk NRES menambah baik perkhidmatan Kementerian dan jabatan serta agensi di bawahnya,” katanya selepas merasmikan karnival berkenaan di Tasik Titiwangsa hari ini.
Tambah Nik Nazmi, sebagai ‘penjaga khazanah’ bumi Malaysia, kementeriannya menganggap karnival terbabit sebagai simbol komitmen Kementerian yang memerlukan sokongan daripada semua penduduk setempat.
Menurutnya, karnival berkenaan membuka peluang untuk NRES melibatkan diri dengan masyarakat, mendengar kebimbangan masyarakat setempat dan bekerjasama dalam mencari penyelesaian secara bersama.
“Kita sedia maklum berkenaan masalah-masalah yang biasa dihadapi oleh perbandaran seperti masalah pengangkutan first-mile dan last-mile, sampah plastik yang menyebabkan longkang tersumbat, pengurusan sisa dan pelbagai lagi.
“Masalah-masalah ini amat sukar untuk diatasi dengan pendekatan sama yang kita amalkan selama ini dan saya fikir, untuk menyelesaikan sebahagian besar daripada permasalahan hari ini dan permasalahan masa hadapan, amat perlu untuk gaya hidup kita berubah.
“EkoSetiawangsa merupakan satu inisiatif yang saya hasratkan untuk menjadikan kawasan Setiawangsa sebagai satu urban eco-district yang mengamalkan gaya hidup lestari merangkum aspek tenaga hijau, mobiliti rendah karbon, pengurusan sisa kitaran dan komuniti lestari.
“Dengan mengamalkan gaya hidup lestari, harapan kita ialah supaya Setiawangsa menjadi satu Kawasan yang neutral karbon, hijau dan inklusif di mana faedahnya dapat dinikmati oleh setiap penduduk,’ ujarnya.
Satu lagi aspek yang sangat penting bagi memastikan inisiatif Eko-Setiawangsa efektif dan berterusan ialah penglibatan secara kolaboratif dan bottom-up daripada pelbagai pihak berkepentingan terutamanya penduduk setempat, entiti komersil, agensi kerajaan, persatuan dan NGO.
Dalam perlkembangan sama, Nik Nazmi berkata, dengan memberi penekanan ke atas kelestarian alam, pembangunan yang lestari dapat dicapai dalam masa yang sama dapat memastikan kemajuan ekonomi tidak mengorbankan alam sekitar dan kesejahteraan sosial.
Salah satu elemen penting di dalam usaha melestarikan alam sekitar adalah penguatkuasaan akta. Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 telah diwartakan pada 15 Mac 1974 dan dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah NRES.
“Pada tahun 2024, akta ini menyambut ulang tahun yang ke-50 atau Jubli Emas di mana akta ini telah dipinda sebanyak tujuh kali sepanjang 50 tahun penguatkuasaannya bagi memberi ruang penambahbaikan demi kelestarian alam sekitar.
“Justeru, komitmen kita untuk melindungi dan memulihkan alam sekitar perlu diperkukuh dan hanya dengan usaha secara bersama, kita dapat memastikan “Tanah Kita, Masa Depan Kita” membuahkan limpahan kekayaan semulajadi dan ketahanan alam sekitar buat Malaysia demi kemakmuran bersama semua lapisan rakyat negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan