MCA desak henti sementara rasionalisasi diesel
MCA mendesak Putrajaya menggantung sementara apungan harga diesel bagi membolehkan rakyat ada masa yang cukup untuk membiasakan diri dan mendaftar dengan program bantuan subsidi diesel Budi Madani.
Naib Presiden MCA Wee Jeck Seng berkata penggantungan itu juga membolehkan kerajaan untuk menilai semula kekurangan dalam inisiatif Budi Madani.
Mulai 10 Jun, kerajaan menamatkan subsidi diesel, membolehkan diesel dijual pada harga pasaran. Katanya, keadaan itu akan memperbaiki kewangan negara.
Bagaimanapun, subsidi bersasar masih diberikan di bawah skim Budi Madani di mana pemilik kenderaan diesel persendirian, petani berskala kecil akan menerima bantuan tunai RM200 setiap bulan.
Di bawah rasionalisasi diesel, yang hanya berkuatkuasa di semenanjung, harga baharu diesel tidak bersubsidi adalah RM3.55 per liter, kenaikan 55% daripada RM2.15 sebelum ini.
“Kenaikannya RM1.20 per liter mengejutkan ramai pihak,” kata Wee.
Beliau berkata bantuan subsidi diesel RM200 sebulan tidak seberapa berbanding kenaikan harga baharu diesel.
Individu yang memohon subsidi RM200 itu dikenakan syarat ketat, dan skim itu terlepas pandang beberapa perkara penting, kata Wee yang juga ahli Parlimen Tanjung Piai.
“Kami menerima aduan hari ini berkenaan kemungkinan salah guna data. Ketika permohonan kali pertama subsidi diesel itu secara online, pemohon dimaklumkan maklumat syarikat mereka sudah ada dalam rekod.
“Melihat kepada pendaftaran tidak lengkap, perbezaan antara harga subsidi dan apungan, ditambah kemungkinan salah guna data, ramai bimbang individu yang layak terima subsidi tidak diberi bantuan.
“Maka, kami gesa perdana menteri yang juga menteri kewangan untuk gantung serta merta keputusan ini,” kata Wee. – 10 Jun, 2024.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan