'Saya tidak benarkan salah guna, pencabulan undang-undang berulang...' - PM
KUALA LUMPUR: Kedaulatan sistem kehakiman tetap menjadi keutamaan, malah kerajaan komited memastikan badan kehakiman bebas menegakkan dan mentadbir keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kebebasan kehakiman tetap tertakluk di bawah doktrin pengasingan kuasa iaitu prinsip yang termaktub di bawah struktur asas Perlembagaan Persekutuan.
"Pada masa lalu, sejarah menyaksikan bagaimana prinsip suci itu dicabuli kuasa yang ada berikutan ada pihak tidak jujur menyalahgunakan kedudukan mereka memesongkan keadilan bagi mencapai tujuan politik yang jahat dan keji.
"Tetapi izinkan saya dengan tegas mengisytiharkan cukuplah perkara itu dan era itu sudah berlalu. Kita tidak akan membenarkan penyalahgunaan dan pencabulan undang-undang seperti itu berulang lagi," katanya berucap merasmikan Persidangan LAWASIA ke-37 di sini, hari ini.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, undang-undang negara harus teguh dan fleksibel serta mampu melindungi hak individu, selain menggalakkan kreativiti dan inovasi.
Justeru, katanya, keseimbangan perlu diwujudkan antara hak peribadi di pihaknya dengan kepentingan awam dan masyarakat di pihak lain.
"Sistem perundangan itu terlalu rigid atau penghakiman yang dibuat tanpa pertimbangan sewajarnya memberi kesan terhadap dasar awam yang bukan saja akan menyekat kemajuan, tetapi juga berisiko menghakis kepercayaan awam dan menyebabkan ketidakadilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan