Thailand arah operasi banteras pembakaran sisa pertanian susulan peningkatan pencemaran
BANGKOK: Kerajaan Thailand mengarahkan tindakan keras diambil terhadap petani yang melanggar larangan membakar sisa tanaman dalam usaha mengurangkan jerebbu.
Ini berikutan pencemaran udara di Bangkok terus mencatatkan peningkatan hari ini, seminggu selepas udara toksik memaksa ratusan sekolah ditutup.
Asap daripada petani yang membakar jerami dan sisa tanaman, digabungkan dengan pelepasan kenderaan dan kilang menyebabkan pencemaran udara di Bangkok dan bandar-bandar lain meningkat pada awal tahun.
Pagi tadi, ibu kota Thailand berada di tempat ketujuh dalam senarai bandar paling tercemar di dunia yang dikendalikan oleh syarikat pemantau udara IQAir.
Menurut IQAir, tahap pencemaran PM2.5 boleh menjadi penyebab kanser apabila mikrozarah memasuki aliran darah melalui paru-paru, mencecah 86 mikrogram setiap meter padu.
Bacaan melebihi 15 dalam tempoh 24 jam dianggap tidak sihat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Paras tinggi PM2.5 turut direkodkan hari ini di bandar utara Chiang Mai dan Udon Thani.
Semalam, kerajaan mengarahkan pihak berkuasa wilayah untuk menguatkuasakan larangan membakar jerami dan sisa tanaman, menghendaki mereka melaporkan bilangan petani yang ditangkap kerana melanggar peraturan.
"Di setiap wilayah, jika anda membenarkan pembakaran tanaman atau gagal melaksanakan langkah pencegahan, anda akan dihukum," menurut kerajaan Thailand dalam satu kenyataan.
Lebih daripada 1.1 juta pelitup muka perlindungan pencemaran diedarkan di seluruh negara dan Kementerian Kesihatan akan memantau kumpulan yang terdedah, termasuk kanak-kanak dan wanita hamil.
Kerajaan juga memberitahu pemandu untuk memastikan kenderaan mereka mematuhi had pelepasan.
Pencemaran dijangka meningkat antara Jumaat dan Rabu ini kerana keadaan cuaca yang sejuk dan stabil menghalang penyebaran bahan pencemar, menyebabkan kadar ketepuan bahan cemar di udara bertambah pekat.
Minggu lalu, pihak berkuasa Bangkok menutup lebih 350 sekolah apabila pencemaran meningkat, tetapi tiada arahan sedemikian diberikan pada hari ini.
Skytrain, metro, sistem rel ringan dan perkhidmatan bas di bandar ini juga diberikan secara percuma sepanjang minggu dalam usaha untuk mengurangkan pelepasan daripada kenderaan milik swasta.
Pencemaran udara memaksa penutupan sekolah di seluruh Asia baru-baru ini, termasuk di Pakistan dan India.
Hampir dua juta pelajar di sekitar New Delhi diarahkan tinggal di rumah pada November selepas pihak berkuasa mengarahkan sekolah ditutup kerana pencemaran udara yang semakin teruk. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan