‘Dua bulan sepuluh hari telah berlalu…’
Lebih dua bulan rakaman video tanpa suntingan diserahkan kepada SPRM, peguam pemberi maklumat dalam dakwaan rasuah Sabah menghantar surat rasmi kepada ketua pesuruhjaya suruhanjaya itu Azam Baki.
Pembocor maklumat antaranya menuntut jawapan mengenai status siasatan, termasuk laporan forensik yang masih belum diterima.
"Kendatipun, dua bulan sepuluh hari telah berlalu dari tarikh rakaman video tersebut telah diserahkan kepada SPRM namun anak guam kami tidak menerima sebarang maklum balas rasmi mengenai perkembangan siasatan termasuk keputusan laporan forensik, sepertimana yang telah dijanjikan berulang-kali,” menurut surat peguam Mahajoth Singh.
Setakat 29 April lalu, Azam berkata SPRM memerlukan lagi dua minggu untuk melengkapkan analisis forensik terhadap video yang diserah pada 11 Mac itu.
Menjawab soalan kenapa lama, dia menegaskan ia melibatkan 10 video, bukan satu, yang perlu diteliti.
Dalam suratnya hari ini, Mahajoth mengingatkan bahawa undang-undang dengan jelas menyatakan bahawa menjadi tugas serta tanggungjawab pegawai penyiasat untuk memberikan status penyiasatan dari semasa ke semasa kepada pengadu.
“Malangnya, dalam kes ini, anak guam kami langsung tidak dikemas kini mengenai sebarang perkembangan kes di atas.
“Apatah lagi apabila anak guam kami merupakan pemberi maklumat,” katanya.
“Oleh yang demikian, kami dengan ini memohon kepada pihak Tan Sri untuk mendapatkan status terkini penyiasatan kes ini serta keputusan laporan forensik berkenaan rakam video tersebut,” kata peguam daripada tetuan Abd Halim Ushah & Associates.
Surat itu juga menyenaraikan komen Azam berkaitan kes itu, seperti berikut:
10 April 2025: SPRM masih menunggu laporan forensik.
22 April 2025: Laporan forensik dijangka siap "tidak lama lagi".
29 April 2025: Laporan forensik dijangka sedia "dalam masa seminggu".
29 April 2025 Anak guam mereka menyerahkan bukti 300 muka surat–yang antara lain mengandungi nama saksi-saksi, perbualan Whatsapp, log panggilan telefon dan dokumen berkaitan—serta sebuah telefon bimbit.
Malaysiakini difahamkan bahawa surat tersebut telah dihantar ke pejabat Azam di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Sejak November lalu, seorang pemberi maklumat berusia 36 tahun yang juga ahli perniagaan mendedahkan rakaman video dan mesej WhatsApp yang didakwa melibatkan beberapa anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah - termasuk speaker Dewan Undangan Negeri - dalam skandal rasuah.
Menurut pemberi maklumat tersebut, dia terpaksa membayar rasuah untuk mendapatkan lesen penerokaan mineral, tetapi memutuskan untuk tampil ke depan setelah lesen-lesen tersebut secara tiba-tiba dibatalkan.
Sebagai tindak balas, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menuduh pemberi maklumat itu bekerjasama dengan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu untuk menggugat kestabilan pentadbirannya.
Sementara itu, pemberi maklumat tersebut berhadapan dengan tuduhan balas bahawa dia cuba memonopoli sektor perlombongan negeri melalui cara-cara penipuan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan