Hampir separuh penduduk Gaza sedia tinggalkan wilayah itu
BAITULMAQDIS: Hampir separuh penduduk Gaza dilaporkan sedia memohon kepada Israel untuk membantu mereka keluar ke negara lain, menurut satu tinjauan yang turut menunjukkan sokongan ketara terhadap protes anti-Hamas.
Tinjauan yang dijalankan oleh Pusat Kajian Dasar dan Tinjauan Palestin itu dilakukan ke atas penduduk di seluruh Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, antara 1 hingga 4 Mei lalu.
Ini adalah kira-kira enam minggu selepas tentera Israel menyambung semula operasi ketenteraan di Gaza berikutan kegagalan gencatan senjata.
Pusat berkenaan adalah sebuah badan pemikir berpangkalan di Ramallah yang dibiayai oleh penderma Barat.
Ia menyatakan dalam laporan bahawa 49 peratus responden menyatakan kesediaan untuk memohon kepada Israel bagi membantu penghijrahan mereka melalui pelabuhan dan lapangan terbang Israel, manakala 50 peratus lagi tidak bersedia berbuat demikian.
Pegawai Israel sebelum ini menyatakan kesediaan membantu penduduk Gaza yang ingin meninggalkan wilayah itu, namun setakat ini hanya sedikit kemajuan dicapai untuk memujuk negara lain menerima mereka.
Kempen ketenteraan Israel selama 19 bulan memusnahkan sebahagian besar Gaza dan sekatan bantuan sejak Mac lalu menyebabkan 2.3 juta penduduk semakin kekurangan makanan.
Namun, ramai rakyat Palestin tetap percaya bahawa meninggalkan Gaza bererti menyerahkan tanah air mereka kepada Israel.
Beberapa menteri Israel secara terbuka menyuarakan hasrat untuk memindahkan keseluruhan penduduk Gaza keluar dari wilayah berkenaan.
Ia selaras dengan rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk membangunkan Gaza sebagai kawasan peranginan pantai di bawah kawalan AS.
Tinjauan turut mendapati 48 peratus penduduk Gaza menyokong siri demonstrasi anti-Hamas yang tercetus di beberapa kawasan dalam wilayah terbabit sejhak kebelakangan ini.
Kadarnya jauh lebih tinggi berbanding penduduk di Tebing Barat, di mana hanya 14 peratus menyatakan sokongan terhadap protes terbabit.
Keadaan itu dilihat sebagai satu bentuk penentangan awam yang jarang berlaku terhadap kumpulan pejuang terbabit.
Pada masa sama, 54 peratus penduduk Gaza berpendapat bahawa protes itu, yang menurut Hamas didalangi perisikan Israel, dipengaruhi oleh kuasa luar, dan hanya 20 peratus percaya ia mencerminkan pandangan sebenar penduduk.
Menurut pusat berkenaan, tinjauan terbabit membabitkan 1,270 responden dengan julat kesilapan sebanyak +/-3.5 peratus. - REUTERS


Tiada ulasan:
Catat Ulasan