Lawyers for Liberty (LFL) menolak dakwaan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang baru bersara, Abdul Rahman Sebli, bahawa seorang "hakim kanan" cuba campur tangan dalam satu kes.
Penasihat kumpulan itu, N Surendran, menyifatkan dakwaan campur tangan itu “jelas salah” dan “tidak masuk akal”.
“Ini kerana, hakim ‘sangat kanan’ yang dituduh cuba campur tangan itu, sebenarnya merupakan salah seorang daripada tujuh anggota panel hakim yang memutuskan kes berkenaan.
“Bagaimana seorang hakim boleh ‘campur tangan’ dalam kes yang turut melibatkan dirinya sebagai salah seorang yang membuat keputusan? Cadangan sebegitu bertentangan dengan logik,” katanya dalam satu kenyataan.
Surendran berkata campur tangan hanya berlaku sekiranya pihak luar seperti pihak eksekutif cuba mempengaruhi hakim-hakim.
Minggu lalu, dalam ucapan perpisahannya, Rahman mendakwa ketika dia masih merupakan hakim Mahkamah Persekutuan, seorang “hakim kanan” telah cuba menekannya supaya mengubah keputusannya.
Dia menyifatkan perkara itu sebagai contoh campur tangan kehakiman dari dalam, yang sepatutnya ditentang.
Rahman tidak menyebut nama hakim berkenaan namun ia dipercayai ditujukan kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat.
Dalam isu khusus ini, Rahman mengetuai keputusan majoriti 4-3 yang mengekalkan klausa tersebut, manakala Tengku Maimun mengetuai keputusan minoriti yang menolaknya.
Rahman berkata tekanan untuk dia mengubah keputusan datang selepas dia mengedarkan draf penghakiman kepada hakim-hakim lain, apabila hakim “sangat kanan” itu mengatakan dia membuat keputusan yang salah.
“Apabila berlaku perbezaan pandangan dalam kalangan hakim berhubung keputusan sesuatu kes, adalah kebiasaan untuk mereka mengedarkan draf keputusan majoriti atau minoriti mereka kepada rakan-rakan hakim dengan harapan dapat meyakinkan sebahagian daripada mereka untuk mengubah pendirian.
“Dengan kata lain, tiada yang salah jika seorang hakim mencadangkan kepada rakan panel bahawa tafsiran undang-undangnya tidak tepat, dan cuba memujuknya untuk mengubah pendirian.
“Inilah proses biasa dalam membuat keputusan kehakiman, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di mahkamah tertinggi negara-negara common law lain seperti UK dan AS,” katanya.
Sementara itu, Surendran turut menyatakan kehairanannya mengapa Rahman mengadu terkesan dengan tekanan daripada rakan sejawatan.
Ini kerana hakim kanan mempunyai jaminan jawatan dan dilindungi oleh perlembagaan, oleh itu mereka sepatutnya tidak mudah terpengaruh dengan tekanan daripada rakan sekerja.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan