Isnin, 28 Julai 2025

SIAM DEGIL ?


Thailand, Kemboja terus bertempur walaupun 'setuju' berunding gencatan senjata


SAMRAONG: Pertempuran Thailand dan Kemboja terus berlarutan masuk hari keempat berturut-turut, hari ini meskipun dua negara itu sebelum ini bersedia mengadakan perbincangan gencatan senjata selepas gesaan masyarakat antarabangsa termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Dua negara jiran kini berada dalam konflik sempadan paling berdarah sejak bertahun-tahun, dengan sekurang-kurangnya 33 orang disahkan maut manakala lebih 200,000 lagi dipindahkan.

Kedua-dua pemimpin sudah menyatakan kesediaan untuk memulakan rundingan bagi menamatkan pertempuran selepas Trump menghubungi dua pemimpin tertinggi negara semalam dan memaklumkan, mereka bersetuju untuk bertemu dan 'merangka segera' gencatan senjata.

Namun, pagi ini tembakan artileri kembali tercetus berhampiran dua kuil purba yang sekian lama dipertikaikan di kawasan sempadan antara utara Kemboja dan timur laut Thailand.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, berkata tentera Thailand mula menyerang kawasan sekitar kuil itu pada jam 4.50 pagi.

Wartawan AFP melaporkan, bunyi dentuman artileri yang berulang kali menggegarkan tingkap rumah di bandar Samraong, Kemboja, kira-kira 20 kilometer dari sempadan Thailand.

Timbalan jurucakap tentera Thailand, Ritcha Suksuwanon pula mendakwa, tentera Kemboja melepaskan tembakan artileri sekitar jam 4 pagi ketika kedua-dua pihak berebut kawalan ke atas kedudukan strategik berkenaan.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet hari ini berkata, negaranya 'bersetuju dengan cadangan untuk satu gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara kedua-dua angkatan bersenjata'.

Katanya, Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn, akan berbincang dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, untuk menyelaras usaha dengan pihak Thailand, tetapi memberi amaran kepada Bangkok supaya tidak melanggar sebarang persetujuan yang bakal dicapai.

Sebelum itu, selepas panggilan Trump, Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, berkata beliau bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan gencatan senjata dan memulakan rundingan 'secepat mungkin'.

Namun beliau juga memberi amaran Kemboja harus menunjukkan 'niat yang benar-benar ikhlas' untuk mencapai perdamaian itu.

Konflik sempadan yang sudah lama berlarutan itu kembali tercetus minggu ini dengan jet pejuang, kereta kebal dan tentera darat yang bertempur di kawasan sempadan luar bandar yang bergunung-ganang, dikelilingi hutan dan tanah pertanian tempat penduduk menanam getah dan padi.

Menurut Thailand, seramai tujuh anggota tenteranya dan 13 orang awam terbunuh, manakala Kemboja melaporkan lapan kematian awam dan lima tentera maut.

Konflik ini juga memaksa lebih 138,000 penduduk di kawasan sempadan Thailand dipindahkan, manakala 80,000 orang hilang tempat tinggal di Kemboja.

Dalam mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, kelmarin Duta Kemboja ke PBB, Chhea Keo, berkata negaranya mahukan 'gencatan senjata serta-merta' dan penyelesaian damai terhadap pertikaian itu.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, semalam juga menggesa kedua-dua pihak 'segera bersetuju dengan gencatan senjata' dan mengadakan rundingan bagi mencari penyelesaian berkekalan.

"Setiausaha Agung mengecam kehilangan nyawa yang tragik dan ia tidak sepatutnya berlaku, kecederaan kepada orang awam serta kerosakan terhadap rumah dan infrastruktur di kedua-dua pihak," kata Timbalan Jurucakapnya, Farhan Haq, dalam satu kenyataan.

Kedua-dua pihak ketika ini saling menyalahkan atas tindakan melepaskan tembakan pertama.

Kemboja menuduh tentera Thailand menggunakan bom kluster, manakala Thailand menuduh Kemboja menyasarkan infrastruktur awam termasuk sebuah hospital yang terkena tembakan.

Pertempuran terbaru itu menandakan peningkatan serius dalam pertikaian lama antara kedua-dua negara jiran itu yang berkongsi sempadan sepanjang 800 kilometer, dengan beberapa puluh kilometer daripadanya masih dipertikaikan. - AFP

SAPA YANG

DEGIL ?

AMIN

SIAM DIBAWAH

TENTERA

AMIN

ASKAR SIAM

DI BAWAH AMERIKA

KHALAS

Tiada ulasan: