Jumaat, 4 Julai 2025

SOSOK JUJUR RAMAI



Tengku Maimun: Kebebasan kehakiman kini terletak pada k'jaan, pengganti

Tengku Maimun Tuan Mat, yang baru bersara sebagai Ketua Hakim Negara semalam, berkata dia kini menyerahkan tanggungjawab untuk mempertahankan kebebasan kehakiman kepada kerajaan dan bakal penggantinya.

Menjadi wanita pertama menyandang jawatan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun mencecah usia 66 tahun semalam — umur wajib bersara bagi hakim kanan. Dia dilantik ke jawatan itu pada 2019 bagi menggantikan Richard Malanjum.

“Saya tidak lagi perlu memikul beban ini.

“Masih sukar untuk saya percaya bahawa saya menghabiskan enam tahun hidup saya sebagai ketua hakim negara, dan saya kini bersara selepas seumur hidup berkhidmat,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Tengku Maimun berkata demikian dalam ucapan di majlis pelancaran bukunya yang bertajuk  “Beyond The Gavel”.

Dia turut memberikan penghargaan kepada kalangan dalam  cabang kehakiman dan bidang undang-undang yang menyumbang kepada penerbitan buku tersebut.

Selain Tengku Maimun, turut bersara semalam adalah Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim.

Terdahulu hari ini, Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar mempercepat pelantikan bagi dua jawatan tertinggi kehakiman susulan persaraan mandatori Tengku Maimun dan Abang Iskandar.

Takiyuddin berkata amat janggal dan luar biasa apabila kedua-dua jawatan itu dipangku serentak oleh Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim.

“Ia sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang keutuhan sistem pemisahan kuasa dan kebebasan institusi kehakiman yang menjadi asas kepada prinsip rule of law (kedaulatan undang-undang) dalam mana-mana negara demokrasi,” kata Takiyuddin.

Pelantikan Hasnah sebagai pemangku Ketua Hakim Negara diumumkan oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini.

Bagaimanapun Free Malaysia Today hari ini melaporkan Hasnah turut memangku tugas presiden bagi Mahkamah Rayuan.

Sebelum ini, Anwar menolak gesaan agar tempoh perkhidmatan Tengku Maimun dilanjutkan selama enam bulan, dengan alasan ia adalah cubaan untuk mempolitikkan institusi kehakiman.

Namun, Takiyuddin hari ini mendakwa kegagalan Anwar untuk mengambil tindakan segera dan sewajarnya dalam urusan pelantikan tertinggi dalam badan kehakiman mencetuskan persepsi ada unsur campur tangan yang nyata, pengabaian disengajakan, atau lebih buruk lagi perancangan tersembunyi untuk mempengaruhi atau mengawal sistem kehakiman.

Beberapa hakim lain turut dijangka bersara dalam beberapa bulan akan datang, termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli, serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Zabariah Yusof dan Hanipah Farikullah.

Tempoh perkhidmatan Abdul Rahman, Zabariah dan Hanipah telah pun dilanjutkan selama enam bulan sebelum ini.

SOSOK JUJUR

RAMAI

AMIN

SEMUA MELAWAAN

PENIPUAN

KHALAS

Tiada ulasan: