Ini bukan rompakan tapi serangan untuk mendiamkan saya di mahkamah – Gnanaraja
KUALA LUMPUR – Saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, G Gnanaraja mendakwa beliau menjadi mangsa serangan bersenjata oleh sekumpulan individu yang memberi amaran semalam supaya tidak lagi memberi keterangan di mahkamah.
Gnanaraja berkata, kira-kira 10 lelaki bersenjatakan parang yang memecah masuk ke kediamannya kira-kira jam 6.30 pagi, mengikat dan menyerangnya dan memberi amaran berulang kali agar beliau tidak memberi keterangan di mahkamah.
“Saya langsung tidak boleh terima dakwaan bahawa ini satu rompakan. Kawasan ini elit, ada kawalan keselamatan yang ketat. Rumah saya kiri kanan dihuni orang kenamaan. Mana mungkin ini satu rompakan?” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurutnya, beliau dipukul dengan besi di bahagian kepala dan ditumbuk mengalami kecederaan di mulut sehingga memerlukan lima jahitan.
Tambah beliau, penyerang menyatakan bahawa insiden itu hanya amaran dan ia boleh menjadi lebih teruk jika beliau terus memberi keterangan di mahkamah.
“Mereka cakap, ini baru sikit. Kalau saya buka mulut, mereka akan datang semula. Saya angkat tangan dan cakap ya, saya takkan buka mulut. Itu saja cara untuk lindungi diri saya ketika itu,” ujarnya.
Semalam, media melaporkan salah seorang saksi penting pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut itu cedera diserang 10 individu dalam kawasan rumahnya di Petaling Jaya, dekat sini, hari ini.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar dalam kenyataan berkata, siasatan awal mengklasifikasikan kes ini sebagai kes samun berkumpulan bersenjata.
Shahrulnizam berkata, sekumpulan suspek bersenjatakan parang dan bertopeng telah memecah masuk ke rumah mangsa dan melarikan sejumlah barangan berharga termasuk barang dari dalam peti besi, sebelum melarikan diri melalui laluan hutan di belakang rumah.
Sementara itu, isteri Gnanaraja, G. Geethanjali yang berada berada di rumah ketika kejadian menyifatkan insiden itu merupakan percubaan untuk menakut-nakutkan keluarganya, dan ia bukan cubaan rompakan.
“Salah satu tetakan hampir mengenai pergelangan tangan suami saya. Kalau sedikit lagi dalam, mungkin menyebabkan kecederaan serius atau hilang fungsi tangan.
“Penyerang langsung tidak kelihatan seperti perompak. Mereka hanya ambil apa yang sempat termasuk kotak coklat,” katanya.
Dalam pada itu, peguam kepada keluarga Gnanaraja, Datuk RT Rajasekaran memberitahu, serangan itu bukan satu rompakan biasa, sebaliknya ia adalah intimidasi terhadap saksi utama dalam perbicaraan rasuah berprofil tinggi.
“Anak guam saya melihat kejadian ini sebagai satu percubaan untuk menghalang beliau daripada memberi keterangan terhadap YB Lim Guan Eng di mahkamah.
“Perlu diingat, beliau merupakan saksi utama pendakwaan dalam kes ini. Seorang saksi terdahulu didakwa telah membunuh diri beberapa tahun lalu.”
Rajasekaran turut mempersoalkan tindakan pihak polis yang terlalu cepat membuat kesimpulan bahawa kejadian itu sebagai rompakan.
“Bagaimana polis boleh buat kesimpulan awal sebelum siasatan lengkap? Ini menimbulkan tanda tanya. Anak guam saya kini takut untuk terus memberi keterangan dan amat bimbang tentang keselamatan diri dan keluarganya.
“Kita mohon pihak polis segera menyediakan perlindungan kepada Gnanaraja sepanjang tempoh perbicaraan,” ujarnya.
Prosiding perbicaraan dijadualkan bersambung pada 19 Ogos ini. -


Tiada ulasan:
Catat Ulasan