Prabowo tegaskan Indonesia perlu tentera kuat untuk kekal merdeka
JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menegaskan membina kekuatan ketenteraan dan pertahanan yang kukuh penting dalam mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara daripada ancaman dalaman dan luaran.
Beliau berkata walaupun Indonesia sebuah negara aman, ia perlu memperkukuh ketenteraan bagi mengelakkan kuasa asing mengeksploitasi sumber alam atau mencetuskan konflik dalaman.
"Perlu diingat bahawa negara kita memerlukan angkatan tentera yang kuat kerana tiada negara boleh kekal merdeka tanpa kekuatan pertahanan yang hebat.
"Saya ulang sekali lagi, tiada negara yang merdeka tanpa tentera yang kuat," katanya di Bandung Barat, Jawa Barat, hari ini.
Prabowo berkata demikian ketika menjadi pemeriksa kehormat pada upacara peluasan struktur Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Pusat Pendidikan dan Latihan Komando Pasukan Khusus (Kopassus) Tentera DaratIndonesia (TNI-AD) di Batujajar.
Sehubungan itu, beliau mengulangi komitmennya untuk menegakkan Perlembagaan 1945 yang mengamanahkan perlindungan keutuhan wilayah, kedaulatan dan kekayaan Indonesia.
"Dengan sumpah setia kepada Perlembagaan 1945 sebagai Presiden Republik Indonesia, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab," tegasnya.
Dalam majlis itu, beliau merasmikan pelantikan Jeneral Tandyo Budi Revita sebagai Timbalan Panglima TNI, jawatan yang tidak disandang sejak pemansuhan pada 2000 dan melancarkan enam markas tentera darat baharu, menjadikan keseluruhannya 21 markas.
Memetik laporan ANTARA, peluasan itu turut membabitkan perasmian 14 markas wilayahTentera Laut Indonesia (TNI-AL), tiga markas wilayah Tentera Udara Indonesia (TNI-AU), enam kumpulan Kopassus, serta 100 batalion pembangunan wilayah, selain beberapa unit lain.
Selain itu, Menteri Pertahanan, Sjafrie Sjamsoeddin, turut dianugerahkan gelaran jeneral kehormat bersama beberapa pegawai TNI bersara yang lain. – AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan