Bahasa Melayu Lebih Utama Dari Bahasa ‘Imigresen’ – Prof Teo Kok Seong
KUALA LUMPUR, 17 Sep 25 – Cadangan pembelajaran bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan tidak wajar menjadi perkara pokok bagi pengukuhan perpaduan rakyat, kata Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
Beliau menegaskan, usaha pengukuhan perpaduan nasional adalah dengan menjayakan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi mewujudkan integrasi nasional.
“Natijah di sini ialah kita hendaklah pertama-tamanya menjayakan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan sebagai misi utama kita, untuk kemudiannya disokong oleh gagasan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai pelengkap sahaja.
“Jangan pula keadaan sebaliknya berlaku, iaitu penganjuran dua bahasa imigresen itu seolah-olah ianya lebih berupaya daripada peranan bahasa negara dalam hal perpaduan negara dan integrasi nasional,” katanya, kepada politiko.my.
Teo berkata, pengajaran dua bahasa itu sebenarnya mahu mementingkan imigresen, atau kehadiran pihak dari tempat lain di bumi Melayu-Islam ini.
“Ia tidak salah, tetapi tidak boleh sesekali dijadikan pendekatan yang terpenting.
“Sebaik-baiknya imigresen hanya pelengkap kepada nativisme,” katanya.
Jelasnya, apabila kaedah utama itu dapat dilaksanakan dengan baik, ia tidak pun memerlukan kaedah sampingan yang dicadangkan itu.
“Ini kerana melalui interaksi yang tinggi intensitinya dan frekuensi yang kerap pula, hubungan etnik yang baik bukan sahaja akan terjalin dengan sendirinya. Juga ia akan berakar umbi dan tidak hanya wujud di permukaan semata-mata.
“Ini yang berlaku di merata tempat lain di dunia yang berjaya,” katanya lagi.
” Walaupun pengajaran dua bahasa itu dan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan utama saling-melengkapi, untuk tujuan perpaduan negara dan integrasi nasional, kita harus memastikan nativisme sebagai kaedah dominan pada setiap masa, yang sekali-sekala boleh disokong oleh imigresen.” @politiko.my


1 ulasan:
Pelajar luar negara lebih ramai dari pelajar tempatan, kenapa? Adakah universiti sudah menjadi tempat membuat duit? Keuntungan diutamakan dengan membekalkan ilmu kepada dunia luar sekarang? Banyak lagi hal yang TT tahu hanya Yahudi Black Batu dan bontot Anwar Ibrahim kah kah kah
Catat Ulasan