Presiden Madagascar meninggalkan negara itu selepas protes Gen Z
ANTANANARIVO: Ketua Pembangkang, sumber tentera dan diplomat asing semalam, memaklumkan Presiden Madagascar, Andry Rajoelina, melarikan diri dari negara Afrika itu.
Ini sekali gus menandakan kejayaan menggulingkan kerajaan susulan gelombang kebangkitan Generasi Z kali kedua di seluruh dunia, dalam tempoh lebih sebulan.
Ketua pembangkang, Siteny Randrianasoloniaiko, berkata Rajoelina meninggalkan Madagascar kelmarin, selepas beberapa unit tentera berpaling tadah dan menyertai penunjuk perasaan.
"Kami menghubungi pegawai di Pejabat Presiden dan mereka mengesahkan beliau sudah meninggalkan negara," katanya sambil menjelaskan lokasi Rajoelina kini belum diketahui.
Pejabat Presiden bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.
Rajoelina menerusi perutusan kepada rakyat disiarkan di Facebook semalam, mengakui terpaksa berpindah ke lokasi selamat bagi melindungi nyawanya.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan lokasinya tetapi tampil tegas dengan menyatakan tidak akan 'membiarkan Madagascar musnah'.
Sementara itu, sumber diplomatik berkata, Rajoelina enggan meletak jawatan selepas ucapan itu, manakala sumber tentera memaklumkan beliau melarikan diri dari Madagascar, menggunakan pesawat tentera Perancis, kelmarin.
Pesawat jenis Casa milik tentera Perancis mendarat di lapangan terbang Sainte Marie, Madagascar, sebelum memindahkan penumpang, dikatakan Rajoelina yang tiba menaiki helikopter, selang lima minit kemudian, kata sumber tentera.
Radio Perancis RFI melaporkan beliau sudah mencapai persetujuan dengan Presiden Emmanuel Macron.
Bagaimanapun, Macron ketika ditemui selepas sidang kemuncak Gaza di Mesir, berkata tidak dapat segera mengesahkan laporan Perancis membantu Rajoelina melarikan diri dari Madagascar.
Katanya, ketertiban perlembagaan perlu dikekalkan di Madagascar, selain menjelaskan keluhan golongan belia negara itu tidak wajar dieksploitasi tentera walaupun mengakui memahami keadaan terbabit.
Demonstrasi tercetus susulan gangguan bekalan air dan elektrik, pada 25 September lalu, sebelum segera bertukar menjadi kebangkitan menentang pelbagai isu lain termasuk rasuah, kelemahan tadbir urus dan kekurangan perkhidmatan asas.
Rajoelina dilihat semakin terasing selepas hilang sokongan CAPSAT iaitu unit elit yang pernah membantu beliau merampas kuasa dalam kudeta pada 2009.
CAPSAT menyertai demonstrasi hujung minggu lalu, menyatakan mereka enggan melepaskan tembakan ke arah orang awam, selain mengiringi ribuan penunjuk perasaan di dataran utama ibu negara, Antananarivo.
Pasukan itu kemudian mengumumkan mereka mengambil alih kawalan ke atas angkatan tentera dan melantik ketua tentera baharu, mendorong Rajoelina memberi amaran mengenai cubaan rampasan kuasa, kelmarin.
Berdasarkan saksi Reuters, satu lagi pasukan separa tentera gendarmerie yang menyokong tunjuk perasaan turut mengambil alih kawalan terhadap pasukan itu serta menamakan ketua baharu dalam upacara rasmi dihadiri pegawai kanan kerajaan, semalam.
Sementara itu, Senat dalam kenyataan memaklumkan Presidennya yang menjadi tumpuan kemarahan awam sepanjang protes, dilucutkan jawatan, manakala Jean André Ndremanjary dilantik sebagai pengganti sementara.
Ketua Senat akan memangku jawatan Presiden sehingga pilihan raya diadakan, sekiranya berlaku kekosongan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan