Ajaran sesat, umat Islam jangan terpedaya kumpulan dakwa ada keistimewaan agama – Menteri
KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyokong penuh tindakan tegas Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam penahanan sekumpulan individu yang dikaitkan dengan ajaran dikenali sebagai Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar berkata, tindakan itu bertujuan mengekang penyebaran fahaman dan amalan yang didapati menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Tegas beliau, isu berkaitan penyimpangan akidah bukan sekadar isu penguatkuasaan tetapi juga pemeliharaan kesucian Islam dan keselamatan akidah umat.
Sehubungan itu kerjasama erat antara JAKIM dan jabatan agama Islam negeri-negeri akan terus diperkukuh bagi memastikan tindakan yang selaras dan bersepadu dapat dilaksanakan.
Dalam masa sama, beliau menyeru umat Islam di negara ini supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu atau kumpulan yang mendakwa mempunyai keistimewaan agama tertentu atau membawa ajaran luar kebiasaan.
“Umat Islam juga diseru mendapatkan maklumat dan panduan daripada pihak berkuasa agama sebelum menyertai mana-mana kumpulan keagamaan dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan yang boleh mengancam akidah masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Na’im, kerajaan akan terus memperkukuh pendekatan dakwah, pendidikan dan penguatkuasaan bagi memastikan umat Islam di Malaysia kekal berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sahih, berpaksikan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.
“Semoga usaha bersama ini menjadi benteng kepada umat Islam daripada terjebak dengan ajaran yang menyeleweng serta memelihara keharmonian ummah di negara ini,” katanya.
Terdahulu media melaporkan JAIP menahan ketua dan tujuh pengikut kumpulan ‘Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi’ kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan ajaran sesat.
Pengarah JAIP, Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, mereka ditahan hasil serbuan di bekas gudang perabot yang dijadikan tempat tinggal di Kampung Sungai Putat, di Pulau Tawar, Jerantut, jam 2.30 petang, Jumaat lalu. –


Tiada ulasan:
Catat Ulasan