Hampir 'terkubur' di DUN Sabah, PKR akur isyarat rakyat
PKR "dengan rendah diri" menerima dan menghormati keputusan rakyat apabila hanya menang di kerusi DUN Melalap pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah semalam.
"Suara rakyat adalah isyarat yang kami terima dengan hati terbuka - sebagai peringatan dan pengajaran yang sentiasa membawa hikmah buat mereka yang ikhlas berjuang," kata pengarah bersama jentera pilihan raya PKR untuk PRN, Nurul Izzah Anwar dan Saifuddin Nasution Ismail
Menggambarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berjumlah 73 kerusi sebagai gelanggang yang mencabar, Nurul Izzah menegaskan PKR diberi peluang bertanding di 12 kerusi — peningkatan berbanding lapan kerusi pada PRN 2020.
“(Ini) suatu peningkatan yang menzahirkan bahawa benih keyakinan terhadap PKR sedang mula bercambah di bumi Sabah ini.
"Sokongan jentera dan anggota juga semakin mengukuh; ia mungkin bukan kemenangan pada angka, tetapi ia adalah kemenangan pada tekad dan kesungguhan," kata mereka.
Adun Melalap yang baru dipilih, Jamawi Jaafar, merupakan ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) sehingga pengumuman rasminya sebagai calon PH sebelum hari penamaan calon.
Nurul Izzah dan Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti atas usaha sepanjang kempen.
“Kami sendiri menyaksikan keikhlasan itu, ada pakcik yang masuk hutan mengutip buluh untuk menegakkan bendera sehingga tercedera, ada juga wanita-wanita yang bergotong-royong memasak sejak awal pagi, memastikan semua jentera bertenaga untuk terus berkhidmat.
“Pengorbanan kecil bagi mereka, tetapi besar maknanya untuk perjuangan ini,” kata mereka.
“Pada masa yang sama, keputusan ini turut mencerminkan sentimen rakyat terhadap isu tadbir urus, ketelusan, dan kepimpinan lokal.
“Mesej yang jelas bahawa ketidaksepakatan bukan sahaja melemahkan kekuatan politik, bahkan menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan kita menawarkan kepimpinan yang stabil dan bertanggungjawab,” tegas dua pemimpin PKR ini.
Difahamkan Malaysiakini bahawa sejak penamaan calon rasmi, Nurul Izzah menghabiskan 18 dan 19 Nov berkempen di Sabah merentasi beberapa kerusi di kawasan Kota Kinabalu — Tulid, Inanam, Petagas dan Moyog.
Sementara itu, Nurul Izzah berkata dia turut mengambil sepenuhnya tanggungjawab selaku timbalan presiden PKR.
“Bersama Saifuddin Nasution selaku pengarah pilihan raya, kami sedar bahawa perjalanan panjang sebuah perjuangan bukan terletak pada kemenangan semata-mata, tetapi pada kesediaan untuk menginsafi kelemahan, memperbaikinya dan bangkit semula dengan lebih baik.
"Tahniah kepada semua calon yang diberikan mandat, termasuk kerusi tunggal yang diamanahkan kepada PKR.
"Pikul amanah ini dengan kesungguhan, berkhidmatlah dengan tekad yang jujur, kerana setiap tindakan kalian akan menentukan masa depan rakyat yang memilih,” tegasnya.
Mustafar turut menjadi antara pemimpin terawal dilihat di kediaman rasmi Hajiji di Kota Kinabalu.
PH kini tinggal satu kerusi PKR di Sabah selepas DAP tersungkur di lapan kerusi dan Amanah kalah dalam satu-satunya percubaan di Sulabayan.


1 ulasan:
Sabah is fucked...8 tongkol yang terlibat dalam kes sakau dah menang..abg non pegang hajiji dan 8 ekor nie sudah tentu sabah akan jadi hamba malaya...tiu nya seng...
Catat Ulasan