Rabu, 3 Disember 2025

BALAK BAWA BANJIR BAWA MAUT


Lebih 800 maut di Sumatera kerana banjir besar akibat pembalakan hutan

TAPANULI SELATAN: Pakar alam sekitar dan pemimpin tempatan di Indonesia menyifatkan banjir dan ribut tropika di Selat Melaka yang mengorbankan lebih 800 mangsa di Indonesia, Malaysia dan Thailand minggu lalu sebagai bencana yang semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim.

Namun bagi Sumatera, mereka mendakwa pembalakan dan kemusnahan hutan menjadikan bencana kali ini jauh lebih buruk.

Pemimpin tempatan di Tapanuli, Gus Irawan Pasaribu, berkata keadaan tidak akan seteruk ini jika hutan masih terpelihara.

"Ada faktor taufan tetapi kalau hutan kita dijaga… ia tak akan jadi sebegini teruk," katanya kepada REUTERS.

Beliau turut mendakwa sudah membantah kepada Kementerian Perhutanan mengenai lesen untuk projek yang membabitkan kawasan hutan, tetapi rayuan itu tidak diendahkan.

Kementerian berkenaan tidak memberi maklum balas kepada Reuters.

Media tempatan melaporkan pejabat peguam negara kini menyiasat sama ada aktiviti haram seperti pembalakan atau perlombongan menyumbang kepada bencana itu.

Lapan syarikat dalam sektor pembalakan, perlombongan dan perladangan sawit dilapor akan dipanggil untuk disoal siasat selepas kayu balak ditemui hanyut di beberapa lokasi.

Seorang lagi pemimpin tempatan, Masinton Pasaribu, menyalahkan pembukaan hutan untuk ladang kelapa sawit, antara eksport terbesar Indonesia, sebagai punca bencana.

Indonesia, yang kaya dengan hutan tropika tebal, pernah berusaha memulihkan kawasan yang rosak, tetapi masih bergantung kepada sumber semula jadi bagi menjana ekonomi.

Menurut Global Forest Watch, Sumatera Utara kehilangan 1.6 juta hektar litupan pokok antara 2001 hingga 2024, iaitu 28 peratus daripada keseluruhan kawasan hutan.

Dalam tempoh sama, seluruh pulau Sumatera hilang 4.4 juta hektar hutan, lebih besar daripada keluasan Switzerland.

Pengasas Nusantara Atlas, David Gaveau, berkata Sumatera adalah pulau yang paling banyak kehilangan hutan di Indonesia.

Beliau menegaskan bahawa pemanasan global ialah punca utama banjir buruk itu, namun pembalakan turut menyumbang kepada kesannya.

Sementara itu, kumpulan alam sekitar, JATAM, berkata gambar satelit menunjukkan pembinaan loji tenaga hidro Batang Toru berkapasiti 510 megawatt (MW) yang dibiayai China turut merosakkan kawasan hutan.

Loji itu dijangka beroperasi pada 2026.

"Ini bukan lagi isu cuaca melampau semata-mata. Ini akibat kemusnahan ekosistem huluan dan kawasan tadahan air oleh industri ekstraktif," kata JATAM.

Reuters tidak berjaya menghubungi syarikat pengendali loji itu, North Sumatra Hydro Energy, manakala syarikat induknya SDIC Power Holdings dari China juga belum memberi maklum balas. - REUTERS


BALA DATANG

BERGANDA

AMIN

HUTAN DITEBANG

TANAH RUNTUH

AMIN

HUJAN SAMPAI

BANJIR MELANDA

AMIN

MANUSIA 

PEMUSNAH ALAM

KHALAS

Tiada ulasan: